KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam perancangan menyegerakan penambahan perjawatan bagi menambah kekuatan aspek aset sumber manusia di Jabatan Penjara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 1,480 kekosongan jawatan perlu diisi membabitkan 1,300 anggota dan pegawai beruniform serta 180 kakitangan bukan beruniform.
Beliau berkata, KDN akan memudah cara proses yang berkaitan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi menyegerakan proses pengisian kekosongan perjawatan berkenaan.
“Penambahan itu perlu diambil perhatian susulan agensi ini telah mengenal pasti jumlah munasabah untuk diisi.
“Jabatan Penjara masih melalui keadaan kekurangan anggota. Justeru, seramai 1,300 beruniform serta kira-kira 180 kakitangan bukan beruniform sudah dikenal pasti jumlahnya yang munasabah untuk diisi bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya selepas melakukan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Penjara di sini, hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.
Mengulas lanjut, kata beliau, sudah tentu penambahan ini ada implikasi kewangan tetapi ianya munasabah, khususnya untuk kita tambah kekuatan anggota Jabatan Penjara.
Saifuddin Nasution berkata, kekuatan semasa Jabatan Penjara adalah seramai 14,000 orang di seluruh negara manakala jumlah keseluruhan pesalah sedang menerima hukuman penjara adalah kira-kira 74,000 orang. – UTUSAN










