Kawal segera kadar sewa rumah - Pejuang Muda Wilayah

Kawal segera kadar sewa rumah – Pejuang Muda Wilayah

MUHAMMAD ZULHILMI MOHD. SHEE FEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming digesa mempercepatkan pembentangan undang-undang khas kawalan atau harga siling kadar sewaan rumah.

Ketua Pejuang Muda Wilayah Persekutuan, Muhammad Zulhilmi Mohd. She Fee berkata, kawalan undang-undang perlu dilaksanakan terutama bagi kawasan yang berada berhampiran majoriti mahasiswa atau belia.

“Ramai golongan itu amat terjerut seksa dengan kenaikan kadar sewaan rumah atau bilik akibat pemilik-pemilik hartanah secara rakus mengejar keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, pihaknya turut mendesak agar Kementerian Pengajian Tinggi melalui Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar memantau amalan institusi pengajian tinggi yang lebih gemar mengejar kedudukan terbaik di Asia atau dunia.

Namun, katanya, isu mudah seperti masalah latihan industri mahasiswa dilihat gagal membentuk graduan yang bersedia untuk memasuki alam pekerjaan tidak dipandang serius.

“Pejuang Muda Wilayah Persekutuan berharap agar anak muda dan belia terus bersama Pejuang demi membentuk khemah besar suara anak muda yang mampu menekan kerajaan untuk lebih mengutamakan kepentingan belia,” katanya.

Terdahulu, Pejuang Muda Wilayah Persekutuan terus diperkukuhkan dengan kepimpinan baharu dan selesai menganjurkan Persidangan Sayap Negeri di sini hari ini.

Dalam persidangan tersebut, Pejuang Muda Wilayah Persekutuan sebulat suara kekal menyokong penuh kepimpinan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Dalam persidangan tersebut, pihak kami kekal komited melaksanakan agenda pembaharuan untuk menjadi lebih inklusif, turun ke bawah berdamping dengan belia sebagai peneman setia mereka tanpa mengira latar belakang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN