SEGAMAT: Musim monsun atau tengkujuh yang baru berlalu sering dikaitkan dengan musibah banjir dan arus deras yang meresahkan penduduk terutama golongan nelayan.
Walau bagaimanapun, ada hikmah di sebalik berakhirnya fenomena alam itu apabila turut memberikan rezeki kepada nelayan darat di sekitar Sungai Segamat.
Udang galah atau lebih dikenali sebagai ‘jenggo’ oleh para pemikat sepit biru ini mula ‘berkampung’ di sungai sekitar daerah ini setiap kali berakhirnya musim tengkujuh.
Seorang nelayan, Rosdi Ismail, 59, mengakui terkejut dengan hasil tangkapan udang galah yang luar biasa.
“Saya amat terkejut ketika memukat udang baru-baru ini apabila berjaya menaikkan ratusan ekor udang galah. Saya dan rakan amat bersyukur pada musim ini pendapatan kami meningkat hampir empat kali ganda dan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Selain itu, faktor cuaca dan keadaan air sungai, hasil tangkapan udang galah berganda kali ini juga bukti keberkesanan pelepasan ribuan benih anak udang galah ke dalam sungai-sungai di sekitar Segamat,” katanya ketika di temui Utusan Malaysia di Kampung Tengah, dekat sini.

Rosdi berkata, pelepasan ribuan benih anak udang galah sebelum ini adalah hasil usaha agensi berkaitan bagi menambah bilangan hidupan marin itu di Sungai Segamat, Sungai Chodan, Sungai Pudu dan Sungai Batu Badak.
Dia yang telah lebih empat dekad bekerja sebagai nelayan pukat ambai di Sungai Segamat mengakui hasil yang diperoleh mampu mencecah 100 kilogram (kg) sehari.
Zaidi Othman, 52, turut bersyukur dan gembira dengan hasil tangkapan udang galah yang banyak untuk membantunya menyara keluarga.
“Nelayan di sini hanya perlu memikirkan bagaimana untuk membawa pulang hasil yang banyak tanpa perlu risau tentang pembeli kerana setiap kali naik ke jeti nelayan, mereka sudah menunggu di daratan untuk membelinya.
“Kebiasaannya, nelayan turun ke sungai seawal pukul 6 pagi untuk memilih lokasi terbaik memasang pukat ambai di sekitar 500 meter hingga satu kilometer dari jeti nelayan. Jika hasil tangkapan memuaskan, saya akan terus memukat hingga pukul 4 petang sebelum kembali ke daratan untuk menjual hasil kepada pelanggan,” katanya sambil memaklumkan udang galah tersebut dijual pada harga antara RM10 hingga RM70 sekilogram bergantung saiz serta grednya.
Sementara itu, pemburu dan pemancing udang galah, Mohd. Faiz Ahmad, 34, sering turun bersama-sama rakannya pada hujung minggu atau cuti umum.
“Di Sungai Segamat, saiz udang galah lebih besar kali ini dengan isinya lebih manis dan kenyal. Biasanya kunjungan ke Sungai Segamat tidak menghampakan, tidak pernah pulang dengan tangan kosong.
“Musim ini purata hasil tangkapan diraih memang luar biasa apabila mencecah antara empat hingga lapan kilogram,” katanya sambil memberitahu air yang tenang dan jernih ialah keadaan yang sesuai mengail udang galah. – UTUSAN










