Ibu tunggal hidap sakit buah pinggang cekal besarkan empat anak

Ibu tunggal hidap sakit buah pinggang cekal besarkan empat anak

NAIMAH Abd. Razak bersama empat anaknya termasuk kembar yang menghidap autisme di rumah sewa mereka di Taman Perumahan Awam Tanah Merah, Jitra, Kubang Pasu. – UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sudah jatuh ditimpa tangga, demikian takdir seorang ibu tunggal yang bukan sahaja menderita sakit buah pinggang tetapi kini terpaksa membesarkan empatnya anak sendirian.

Lebih mengharukan dalam kehidupan Naimah Abd. Razak, 39, apabila dua anaknya, Haziq dan Hazim yang juga merupakan kembar berusia 15 tahun turut menghidap autisme.

Menurut wanita berstatus ibu tunggal itu, mereka lima beranak kini hidup dalam serba kekurangan, apatah lagi dia terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu kerana penyakit yang dihidapinya sejak setahun yang lalu.

“Sejak bercerai pada Disember lepas saya menanggung sendiri kos rawatan dialisis iaitu RM150 setiap rawatan dan ke­rana nak berjimat saya terpaksa buat dua kali sahaja rawatan. Saya cuba minta kepada hospital kerajaan tetapi tak dapat lagi, kena tunggu giliran pula.

“Alhamdulillah, ada bantuan zakat untuk anak-anak sebanyak RM1,000 sebulan yang boleh menampung persekolahan mereka dan belanja kami seharian,” katanya ketika ditemui di Taman Perumahan Awam Tanah Merah, Jitra di sini semalam.

Menurut Naimah, dua anak lelakinya itu belajar di sekolah pendidikan khas berdekatan rumah tersebut sementara adik perempuan mereka, Aisyah, 11, di sebuah sekolah kebangsaan di Jitra.

“Saya tidak mempunyai kenderaan jadi terpaksa upah van sekolah dengan tambang RM350 setiap bulan. Buka sekolah nanti kena tambah lagi tambang sebab anak bongsu, Alia, 7, pula akan masuk sekolah. Di sebalik kesempitan ini, kami terpaksa juga sesuaikan diri dengan suasana baharu hidup sekarang. Kami pindah ke sini pun sehelai sepinggang sebab banyak perabot terpaksa dijual untuk guna belanja pindah,” katanya.

Naimah yang turut mengalami masalah penglihatan kerana penyakitnya berkata, dia bernasib baik apabila keluarga mengambil berat tentang kehidupan mereka termasuk sewa rumah RM400 yang dibiayai abangnya selain makan minum yang dihantar jiran.

Menurutnya, dengan keadaan kesihatan yang semakin menyusut dia melahirkan kebimbangan tentang masa depan anak-anaknya.

“Walaupun hidup saya sukar tetapi saya kena kuat demi anak-anak. Saya harap dapat jalani rawatan dialisis ini seperti biasa namun tak mampu. Saya ada mohon zakat tetapi kata mereka, kalau saya terima bantuan dialisis, bantuan kewangan akan dipotong. Jadi macam mana pula nak hidup kalau begitu,” katanya.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian dengan menghulur sumbangan kepada Naimah di akaun Bank Islam miliknya, 08022 02078 5799. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.