Hutang negara RM1.5 trilion

Hutang negara RM1.5 trilion

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar hutang negara sudah mencecah hampir RM1.5 trilion termasuk liabiliti sedia ada yang perlu ditanggung kerajaan walaupun jumlah itu dipertikaikan pelbagai pihak yang disifatkan berubah-ubah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan ekonomi yang beliau mahu tekankan ialah bersandarkan kepada angka dan fakta dengan mengutamakan satu mandat perubahan tanpa lagi mengekalkan sistem pentadbiran lama yang memerlukan transformasi.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh lagi ‘membuaikan’ minda rakyat dengan perkara tidak realistik tanpa melihat kenyataan sebenar dan pimpinan kerajaan harus keluar daripada budaya selesa.

“Wakil-wakil kementerian harus terima kenyataan ini bahawa tidak boleh lagi business as usual, tak boleh lagi kekal budaya selesa, seolah-olah semuanya okey dan mendakwa ‘kamilah hebat’, ‘catat kejayaan tinggi’, projek semua baik,” katanya ketika berucap dalam majlis dialog Belanjawan 2023 di sini semalam.

Menurut beliau, kenyataan sedemikian adalah hambar yang bertentangan dengan data.

“Sebab itu kita mulakan dengan memberikan angka sebenar. Ada cara pendekatan yang berbeza, kita tak boleh tangani ekonomi 2023 kalau ada budaya selesa yang tidak mampu memacu pertumbuhan ekonomi diharapkan,” katanya.

Walaupun baru mengetuai Kementerian Kewangan tidak sampai dua bulan, namun beliau mendakwa sudah mengenal pasti kebocoran tinggi sekitar RM3 bilion ke RM4 bilion yang boleh diselamatkan termasuk yang ‘dialihkan’ kepada parti politik tertentu.

“Kadang-kadang rasuah ini sistemik. Yang atas beratus juta ringgit (dapat), yang bawah puluh ribu. Jadi macam mana nak tangani dengan cara besar?

“(Contohnya) saya bincang dengan Kementerian Pertahanan untuk tentukan kaedah pembelian senjata yang lebih profesional. Biarkan urusan berkenaan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) bertanggungjawab cari barangan terbaik dan runding antara kerajaan tanpa campur tangan dari politik atau kepentingan-kepentingan peniaga.

“Dari pengalaman saya, isu seperti banjir, pembelian senjata, kalau ini kita serahkan kepada yang upaya (untuk mengendalikannya), (maka) kita dapat kurangkan (ketirisan),” katanya.

Anwar pada masa sama menegaskan, beliau tidak akan membina sebarang mercu tanda baharu semasa zaman pentadbirannya sebagai Perdana Menteri kerana bangunan pencakar langit sedia ada sudah mencukupi.

Sebaliknya, tumpuan beliau adalah diberikan kepada tiga bidang utama iaitu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pendigitalan dan ekonomi hijau bagi membangunkan negara.

Beliau berkata, semua pihak tidak seharusnya hanya merenung kelesuan ekonomi, namun perlu mencari jalan dalam bidang baharu untuk diterokai dan anjakan perlu dilakukan dalam bidang digital dan teknologi yang mana negara sedikit ketinggalan dalam bidang itu.

Anwar berkata, ekonomi hijau merupakan salah satu daripada lima tonggak memulihkan ekonomi negara, tetapi apa yang mengejutkan, usul untuk perkenalkan tanaman organik oleh syarikat besar di Kuala Lumpur memakan masa dua tahun untuk diluluskan.

Justeru, menurutnya, budaya melengahkan kelulusan harus dihentikan dan ia harus dipercepatkan.

“Ketua- ketua jabatan harus bertanggungjawab terhadap mana-mana kelewatan dan tindakan akan diambil kerana memberi kesan kepada ekonomi kita,” katanya. – UTUSAN

HUTANG NEGARA:

2016 –   RM916.1 bilion (termasuk liabiliti)

2017 –   RM1.087 trilion (termasuk liabiliti)

2018 –   RM1.09 trilion (termasuk liabiliti)

2019 –   RM1.08 trilion (termasuk liabiliti)

2020 –   RM979.8 bilion (termasuk liabiliti)

2021 –  RM1.36 trilion (termasuk liabiliti)

2022 –  RM1.05 trilion (setakat akhir Jun 2022)

Sumber:

– Jabatan Audit Negara Malaysia

– Laporan Tinjauan Ekonomi

– Kementerian Kewangan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN