KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor memberi jaminan pembangunan yang saksama akan terus dijalankan bagi memastikan semua kaum di negeri ini memperoleh manfaat.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan agenda pembangunan negeri dan kemajuan rakyat diberi tumpuan secara berterusan pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.
Ia selaras dengan kesungguhan kerajaan negeri untuk terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi yang akan membawa kebaikan kepada negeri serta rakyat di negeri ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik pada tahun 2022 dan berada di landasan yang betul di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sehingga kini, kerajaan negeri telah memperoleh hasil sebanyak RM6.6 bilion, bukti bahawa ini adalah prestasi terbaik kita sejak merdeka. Ini juga adalah komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri agar Sabah terus maju.
“Kami tidak akan berputus asa tetapi akan meneruskan momentum ini. Saya mahu rakyat negeri ini termasuk masyarakat Tionghua terus bersama kami dalam perjalanan ini,” katanya sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina 2023 bersama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hari ini.
Beliau juga mahu keharmonian dan keamanan yang dikecapi oleh rakyat serta negeri selama ini terus berkekalan serta terpelihara.
Justeru, kerajaan negeri akan memastikan semua rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama dapat meraikan perayaan mereka masing-masing. Perayaan adalah medan terbaik untuk merapatkan lagi hubungan serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Pembangunan yang saksama untuk semua rakyat akan terus dilakukan termasuk pemberian peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.
“Justeru, pada tahun ini, kita memperuntukkan sejumlah RM54.05 juta untuk tujuan itu dalam belanjawan negeri tahun ini. Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.05 juta berbanding pada tahun lepas,” katanya.
Majlis yang dihadiri Tun Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni itu adalah anjuran bersama kerajaan negeri Sabah dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS).
Semalam, Hajiji turut menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon di Sandakan.
Dalam ucapannya, beliau berkata, banyak yang boleh dilakukan sekiranya pemimpin dan rakyat terus bersatu serta terus meraikan kejayaan seperti pulangan hasil negeri yang baik dan merekodkan peningkatan pelaburan asing.-UTUSAN










