Hajiji akan lancarkan Parti Gagasan Rakyat Sabah

Hajiji akan lancarkan Parti Gagasan Rakyat Sabah

HAJIJI Noor (tengah) kanan) bersama Maximus Ongkili (tiga kanan) dan Pandikar Amin Mulia (dua kiri) semasa melancarkan Sayap Pelajar GRS di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan melancarkan parti baharu yang dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dalam masa terdekat ini.

Bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu akan menerajui Gagasan Rakyat sebagai platform untuk meneruskan perjuangan politiknya melalui parti tempatan.

“Kita akan lancarkan dalam masa beberapa hari yang akan datang. Ini parti sudah sedia ada, kita ambil alih sahaja,” katanya selepas majlis perasmian penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS hari ini.

Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, beliau akan menggunakan parti itu bagi meneruskan perjuangan melalui sebuah parti tempatan yang bernaung dengan GRS.

Menurutnya, GRS telah menerima penyertaan Gagasan Rakyat sebagai anggota gabungan politik tersebut pada 9 Disember lalu.

Justeru, GRS kekal dianggotai oleh lima parti iaitu Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

GRS ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 dan ia berdaftar sebagai sebuah entiti politik rasmi pada 11 Mac 2022 dengan disertai empat parti termasuk Bersatu, sebelum disertai oleh USNO pada bulan Mei tahun lalu.

Namun, selepas Hajiji dan pimpinan Bersatu Sabah mengumumkan keluar parti pada 9 Disember lalu maka, secara automatik Bersatu bukan lagi sebahagian daripada GRS.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata, selepas keluar daripada Bersatu, banyak pihak mempertikaikan statusnya sebagai Ketua Menteri kerana dikatakan tidak mempunyai parti maka, telah melanggar Perlembagaan Negeri.

“Saya ialah Pengerusi GRS iaitu sebuah gabungan politik. Dalam beberapa hari lagi, saya akan ketuai satu parti (Gabungan Rakyat) dan menerusi parti itu, kita akan gerakkan perjuangan kita melalui parti yang akan diketuai olehnya.

“Parti itu telah diterima sebagai anggota GRS maka, tidak timbul bermacam-macam pertikaian mengenai kedudukan saya. Apa yang penting, saya mendapat sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Dewan,” katanya.

Hadir sama ialah Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Angin.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya