PUTRAJAYA: Malaysia harus menamatkan ukuran kemajuan pertumbuhan ekonomi dengan keghairahan menyebut angka semata-mata tanpa memberi penekanan kepada kesan dan akibat kepada rakyat keseluruhannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat yang tergolong dalam kategori miskin tegar, bergelut dengan permasalahan hidup atau anak muda yang menganggur tidak terpukau dengan angka bahawa kadar pengangguran menurun atau inflasi hanya pada kadar empat peratus kerana ia langsung tidak membantu serta tidak menjamin masa depan.
Justeru, kata beliau, pembangunan konsep ekonomi manusiawi akan menolak prinsip kapitalisme itu yang sedikit sebanyak diamalkan pimpinan negara terdahulu, yang mana golongan mahakarya terpilih menguasai hampir semua bidang di negara ini.
Katanya, ia seolah-olah seluruh jentera kerajaan tidak ada keupayaan mengenal pasti syarikat baharu atau kelompok baharu untuk dilatih atau diangkat seiring supaya diperluas peluang bagi mereka menguasai bersama.
“Tanpa keadilan sosial, tanpa ekonomi manusiawi, apa berlaku adalah sistem baharu yang disebut seperti langkah penswastaan (contoh), rompakan itu terus menerus berlaku setiap jam. Kalau lanun zaman silam dia rompak satu tahun sengsara beberapa bulan, mereka hidup dengan aman kemudian rompak lagi.
“Dalam sistem yang tidak adil atas nama penswastaan atau apa saja jika tidak dikawal dengan kekuatan politik yang telus dengan tatakelola yang baik akan menyebabkan rompakan itu berlaku, terus menerus.
“Setiap minit kegunaan air dan elektrik umpamanya akan menyebabkan rompakan kecil berterusan setiap minit, setiap bulan, setiap tahun. Sebab itu sokongan dasar kita itu harus menjamin sokongan kepada pelabur supaya dapat dijalankan kegiatan ekonomi dengan baik tapi jangan menyebabkan penekanan dan sengsara bagi rakyat di bawah,” katanya ketika menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani, di sini hari ini. – UTUSAN