Guna kuasa untuk bela rakyat - Anwar - Utusan Malaysia

Guna kuasa untuk bela rakyat – Anwar

ANWAR Ibrahim menuangkan susu ke dalam periuk tanah liat pada Program Sambutan Hari Ponggal 2023 peringkat Parlimen Tambun di SJKT Klebang, Chemor di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin agar tidak melupakan rakyat yang susah semasa mereka mempunyai kuasa.

Mengambil inspirasi daripada lagu Tamil yang beliau minati, ‘Naan Aanaiyittal’ nyanyian artis terkenal Tamil, MG Ramachandran atau MGR, Perdana Menteri berkata, lagu itu mengajar pemimpin agar terus bertanggungjawab terhadap rakyat.

“Lagu ini adalah lagu Tamil kesukaan saya, lagu ini mengajar kita apabila menjadi ketua, jangan lupakan orang susah, jangan sampai mereka mengalirkan air mata (akibat kesusahan).

“Saya selalu ingatkan kawan-kawan apabila ada kuasa, kita guna untuk rakyat. Negeri ini kaya, hasilnya banyak, tapi kenapa yang kaya makin kaya, yang miskin ramai.

“Sebabnya wang yang ada, kontraklah, projeklah dicuri. Saya guna kuasa untuk selamatkan negara. Jangan ada yang mencuri sebaliknya bagi bantuan balik kepada rakyat.

“Yang penting sekali negeri ini mesti diselamatkan, selamat daripada orang orang besar yang mencuri duit rakyat. Kalau ini kita boleh selamatkan, wang yang ada kita boleh pulangkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Hari Ponggal 2023 Peringkat Parlimen Tambun di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang, Chemor di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Perdana Menteri berkata, segelintir pemimpin politik mungkin tidak suka memperkatakan perkara sedemikian malah ada yang menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, jika berlaku pergaduhan antara kaum, keadaan itu tidak menguntungkan rakyat.

“Apabila kita gaduh di antara kita, antara kaum, siapa yang untung? Yang bergaduh orang bawah, yang suruh gaduh orang politik di atas.

“Sebab itu saya minta kawan-kawan Melayu datang raikan (Pesta Ponggal), ini bukan upacara agama, ini pesta menuai.

“Di India, saya tengok kawan-kawan saya baik yang beragama Hindu, baik yang Muslim, sama-sama dalam pesta ini kerana tanda syukur mereka atas hasil yang baik,” katanya.

Sementara itu, Anwar mengulangi kenyataan agar pemimpin politik Malaysia berubah daripada cara lama iaitu menganggap masuk politik untuk jadi kaya.

“Semalam saya sebutkan orang politik jika mahu jadi kaya, berhenti politik, berhenti niaga. Jika mahu politik, tak boleh berniaga (kerana) untung seorang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya