Elak bertengkar, dihamun punca Syamsul sekat nombor isteri - Utusan Malaysia

Elak bertengkar, dihamun punca Syamsul sekat nombor isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof, 37, mendedahkan, tindakannya menyekat nombor telefon dan WhatsApp isterinya, Puteri Sarah adalah kerana mahu mengelak berlakunya pertengkaran berterusan.

Syamsul juga mendakwa, dia terpaksa berkomunikasi dengan Sarah melalui orang tengah sama ada ibunya, ibu mentua, adik-beradik, termasuk pembantu rumah atas sebarang urusan dan keperluan keluarga.

“Saya tidak suka bergaduh, tidak suka pertengkaran. Bagaimana saya nak berkomunikasi dengan awak (Puteri Sarah) kalau setiap kali awak sentiasa memaki hamun, bahasakan diri engkau, aku dan tiada hormat.

“Saya tiada ruang untuk berbicara, bila WhatsApp atau tiada apa-apa, tiba-tiba awak memaki hamun. Saya rasa ia memudaratkan, jadi saya ‘block’. Saya tidak mahu hubungan kita makin teruk, makin keruh.

“Tetapi, menyekat tidak bermaksud saya tidak hiraukan awak. Perbelanjaan, segala-galanya saya berikan,” katanya.

Syamsul berkata demikian dalam satu hantaran video yang dimuat naik pada pukul 12 tengah malam tadi.

Selain itu, kata Syamsul, dia pernah memohon supaya Sarah berhenti berkongsi aib rumah tangga di media sosial, namun tidak dihiraukan isterinya.

“Saya pun boleh cerita pasal awak, tetapi saya tidak mahu. Selama ini, saya telan sahaja.

“Pintu rumah sentiasa terbuka. Jangan buat drama untuk meraih simpati masyarakat. Apa tujuannya?” katanya.

Menjawab permintaan Sarah untuk dilepaskan, Syamsul juga berharap agar perkara itu dapat diselesaikan dengan cara bersemuka dan berbincang di rumah.

“Kita nak berpisah atau masih mahu bersama, macam dalam video sebelum ini ada saya katakan, balik rumah berbincang. Jangan cakap di media sosial.

“Saya faham perasaan awak tapi sampai bila? Berhentilah. Saya ada salah saya, awak salah atau tidak, terpulang. Kita balik bincang.

“Cukuplah. Netizen pun dah tak larat dengan cerita ini. Iya, saya tidak sempurna dan ada dosa yang saya cuba untuk perbaiki. Tetapi, benda ini tak akan selesai kalau terus dengan drama,” katanya.

Akui Syamsul, dia juga terpaksa membuat hantaran video tersebut di media sosial kerana mahu menamatkan ‘drama’ rumah tangganya ini daripada terus menjadi bahan fitnah masyarakat.

“Saya sudah tak nak muat naik sebarang kisah rumah tangga, tetapi kali ini saya terpaksa kerana melibatkan masyarakat yang tidak habis-habis bercakap. Kepada yang faham, syukur Alhamdulillah.

“Tidak ada yang rugi atau untung jika netizen jadi batu api dan melaga-lagakan, seolah-olah mahu saya dan isteri bercerai,” katanya.

Dalam pada itu, Syamsul juga memohon semua pihak meletakkan sedikit empati kepada kedua-dua isteri, termasuk ibu dan bapanya dengan tidak mengutuk atau mencerca mereka.

“Saya minta jangan ditohmah kedua-dua isteri saya. Jangan kata benda tidak elok tentang mereka. Kalau nak kutuk atau hina, biar pada saya.

“Kutuk saya sebab saya yang buat keputusan ini dan bertanggungjawab,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya