Doktor perubatan obesiti USM terima anugerah antarabangsa - Utusan Malaysia

Doktor perubatan obesiti USM terima anugerah antarabangsa

DR. TEOH SOO HUAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pensyarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Teoh Soo Huat, 39, menerima anugerah Dr. Peter G. Lindner Award dari Persatuan Perubatan Obesiti Amerika Syarikat (AS) – Obesity Medicine Association (OMA).

Soo Huat yang merupakan Doktor Perubatan Obesiti dan Pakar Perubatan Keluarga di Jabatan Perubatan Klinikal IPPT itu merupakan satu-satunya penerima luar dari AS yang diiktiraf OMA sebagai pakar perubatan dalam bidang obesiti.

Menurut Soo Huat, anugerah itu menjadi motivasi kepadanya untuk terus memainkan peranan dalam bidang tersebut di Malaysia.

”Saya berharap dapat membangunkan bidang ini melalui khidmat klinikal yang berkualiti dan melatih doktor-doktor yang berminat.

“Ini adalah penghargaan saya kepada negara dan USM atas sokongan yang diberikan untuk saya ceburi bidang ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

OMA adalah persatuan doktor perubatan terbesar yang dianggotai oleh mereka yang terlibat dalam bidang perubatan obesiti termasuk jururawat dan pembantu perubatan dalam meningkatkan kualiti kesihatan awam yang terkesan dengan obesiti.

Soo Huat yang merupakan anak jati Jelutong dekat sini, telah hampir 12 tahun terlibat dalam bidang perubatan obesiti yang mana tujuh tahun bersama Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum berkhidmat di USM.

Di bawah tajaan USM dan Kementerian Pengajian Tinggi, Soo Huat telah menjalani latihan subkepakaran perubatan obesiti di Ottawa, Kanada tahun lalu.

Beliau juga mendapat pengiktirafan sebagai felo kebangsaan Pertubuhan Obesiti Sedunia (World Obesity Federation) pada 2020.

Menurut Soo Huat, beliau berhasrat membantu masyarakat dalam menghadapi penyakit obesiti yang sangat serius di negara ini melalui rawatan berdasarkan bukti (evidence-based treatments).

“Kami menawarkan perkhidmatan rawatan kepada pesakit-pesakit obesiti seperti panduan gaya hidup sihat, nasihat perubahan tingkah laku, ubatan anti obesiti dan perbincangan pembedahan bariatrik.

“Data pesakit-pesakit yang diperoleh juga dapat merangsang kerja-kerja penyelidikan untuk penambahbaikan rawatan-rawatan dan taraf perkhidmatan dalam bidang ini seiring dengan fungsi universiti sebagai menara ilmu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.