BAGAN DATUK: Penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau gembira dapat bersama ahli keluarganya meraikan majlis naik buai dua cicitnya di rumahnya di Kampung Sungai Balai di sini semalam.
Berusia 84 tahun, Daud Kilau yang mempunyai tiga anak, 13 cucu dan 12 cicit berkata, beliau gembira kerana dapat meraikan majlis naik buai dua cicitnya itu yang berusia 40 hari iaitu Noor Aakhir Syafi Noor Syamin dan Layla Amani Mohd Hasnor Alif.
Beliau bersyukur kerana turut sama meraikan majlis naik buai atau berendoi dua cicitnya itu walaupun kesihatannya tidak begitu baik.
“Saya bersyukur kerana dapat meraikan majlis ini dan lebih penting kami sekeluarga dapat berkumpul bersama-sama.
“Saya berdoa agar semua ahli keluarga saya diberikan kesihatan yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerana keadaan kesihatah yang tidak begitu baik, Daud Kilau berkata, beliau hanya dapat melihat majlis dijalankan dengan sempurna disebabkan kudratnya sangat tak terdaya dan keadaannya tidak boleh berdiri dan berjalan.
Menurutnya, beliau bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga yang ramai yang sentiasa mengambil berat mengenai kesihatannya.
“Semua ini adalah anugerah Allah dan saya amat bersyukur dengan apa yang saya ada.
“Keadaan saya sekarang tidak boleh berdiri langsung, sentiasa di kerusi roda, kalau nak bangun kena papah, banyak baring di atas katil,” katanya.
Sementara itu, cucu Daud Kilau, Norhasliyana Hassan, 33, berkata, datuknya susah hendak bergerak dan tidak boleh berdiri atau berjalan seperti biasa.
“Namun datuk seorang yang kuat semangat apabila sama-sama meraikan majlis naik buai cicitnya semalam.
“Kami tahu datuk tidak sihat dan tidak kuat seperti dahulu, tetapi semangatnya tetap kuat,” katanya.
Daud Kilau menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil menyebabkannya mengambil keputusan tidak lagi membuat persembahan pentas dan beliau lebih banyak berbaring di rumah.
Pada September lalu, penyanyi itu dirawat di Hospital Teluk Intan kerana mengalami masalah paru-paru berair. – UTUSAN










