Daniel Fong teruja dapat jadi hero - Utusan Malaysia

Daniel Fong teruja dapat jadi hero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN sudah lima tahun bergelar pelakon, nama Daniel Fong belum begitu menyerlah dalam kalangan penonton drama Melayu. 

Apatah lagi, Daniel atau nama sebenarnya, Daniel Fong Weng Chuan, 30, lebih banyak membintangi drama Cina sejak awal pembabitan dalam bidang seni. 

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, dia mula mendapat tawaran beraksi dalam produksi Melayu, terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Jejaka berdarah Cina-Mongolia ini mengakui, dia begitu teruja apabila buat kali pertama ditawarkan watak hero dalam drama bersiri, Bintang.

Katanya, drama yang akan disiarkan menerusi slot Lestary di TV3 itu membuktikan bakatnya mula mendapat kepercayaan penerbit dan stesen televisyen. 

“Saya sangat teruja, pada masa sama bimbang tidak dapat galas watak tersebut dengan baik. Apapun, saya yakinkan juga diri untuk merebut peluang itu. 

“Saya sangat menyukai watak sebagai lelaki Siam yang bercinta dengan gadis Melayu yang dilakonkan Ruhainies. Saya harap penonton menyukai drama romantik ini,” katanya. 

Selain membintangi telefilem Bella Bila Cinta Bersatu dan Mualaf Ekspres, Daniel juga pernah membawa watak utama dan pembantu dalam lebih 10 drama Cina. 

BELAJAR CAKAP MELAYU 

Selepas menamatkan pengajian di Melbourne, Australia pada 2016, Daniel pada asalnya menceburi bidang insurans dan menjadikan lakonan sebagai kerjaya separuh masa. 

Walaupun menjanjikan pendapatan lebih lumayan, sukar baginya membahagikan masa dan memberi fokus terhadap kedua-dua bidang serentak.

Disebabkan itu, pemegang ijazah dalam bidang Ekonomi ini nekad memilih lakonan sebagai kerjaya walaupun sedar terpaksa berdepan persaingan hebat.

“Saya menyimpan hasrat untuk mencuba karakter berbeza, terutama watak aksi kerana sebelum ini, kerap diberikan peranan lelaki romantik,” katanya. 

Menceritakan detik permulaan yang membawanya kepada dunia lakonan, Daniel berkata, dia asalnya banyak terlibat dengan iklan komersial dan sejak itu, mendapat tawaran berlakon drama Cina. 

“Drama Melayu bermula dengan membawa watak pembantu. Sejak itu, saya beranikan diri untuk mencuba nasib dan mula mendapat tawaran berlakon telefilem dan drama,” kongsinya. 

Daniel memberitahu, dia juga kembali belajar menguasai bahasa Melayu kerana sebelum ini, lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris. 

“Dialog memainkan peranan penting dalam lakonan dan saya berterima kasih kepada individu yang sentiasa mengajar supaya saya lebih yakin bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya. 

SAMBUTAN TAHUN BAHARU

 

Sudah menjadi rutin buat Daniel dan keluarga menyambut Tahun Baharu Cina dengan melancong ke luar negara. 

Apatah lagi, sebagai anak tunggal, Daniel mendapat segala kasih sayang dan perhatian daripada keluarga. 

“Kali terakhir kami melancong ke Korea Selatan sebelum PKP. Tahun ini, mungkin tidak sempat kerana saya sibuk menjalani penggambaran. 

“Sudah menjadi tradisi keluarga dari Segamat, Johor akan datang ke rumah saya di Kuala Lumpur untuk makan besar dan luangkan masa bersama,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.