'Cobrate' perkasa bahan bacaan untuk golongan cacat penglihatan - Utusan Malaysia

‘Cobrate’ perkasa bahan bacaan untuk golongan cacat penglihatan

TAN Lean Kee (dua dari kiri) bersama Datuk Mustafa Kamal Ahmad (tiga dari kiri) melawat gerai pameran sempena Majlis Pelancaran Buku Braille dan Pertandingan Membaca Braille sempena sambutan Hari Braille Sedunia 2023 di PPAPP Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) tampil dengan inisiatif tersendiri apabila menghasilkan buku Braille khas yang dikenali sebagai ‘cobrate’ iaitu gabungan antara kolaj, Braille dan teks sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan bahan bacaan untuk golongan cacat penglihatan.

Pengarah PPAPP, Sharimah Salleh berkata, projek ‘cobrate’ itu bermula sejak dua tahun lepas dan sehingga kini, terdapat kira-kira 50 buah buku dengan konsep tersebut berjaya dihasilkan.

Beliau berkata, buku ‘cobrate’ itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 3,460 buku Braille yang terdapat di perpustakaan berkenaan ketika ini.

“Selain Pulau Pinang, terdapat sebuah lagi perpustakaan iaitu di Sabah yang menghasilkan buku Braille sendiri.

“Bezanya di sini, buku itu dihasilkan sendiri oleh orang cacat penglihatan (dengan dibantu beberapa individu) manakala di Sabah, ia dihasilkan oleh individu normal,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Braille (Cobrate) dan Pertandingan Membaca Braille sempena sambutan Hari Braille Sedunia 2023 di PPAPP Seberang Jaya, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran buku itu yang disempurnakan isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Lean Kee ialah Timbalan Pengerusi Lembaga PPAPP, Datuk Mustafa Kamal Ahmad.

Selain melancarkan buku ‘cobrate’ bertajuk ‘Siri Pengembaraan Chaq dan Chik’ serta Mari Mengenal Huruf, PPAPP turut mempamerkan kit kraf Cakna Orang Kurang Upaya (OKU) atau KKCO yang bertujuan memberi kemahiran seni kraftangan kepada golongan istimewa itu.

Mengulas lanjut, Sharimah berkata, buku ‘cobrate’ itu dihasilkan bertujuan membolehkan semua ahli keluarga kepada mereka yang mempunyai masalah penglihatan turut sama membaca.

“Sebab itu kita ubah konsep (Braille) yang mana buku ini ada kolaj (gabungan gambar), teks biasa dan tulisan Braille pada masa yang sama,” katanya yang turut berharap langkah tersebut dapat menarik lebih ramai pembaca Braille termasuk daripada kalangan pembaca normal.

Dalam pada itu, kata Sharimah, Pertandingan Membaca Braille tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu untuk murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang cacat penglihatan serta golongan normal yang ingin ‘mendalami’ tulisan berkenaan.

Ujar beliau, penyertaan yang diterima juga amat mengalakkan apabila lebih 100 peserta dari seluruh Pulau Pinang mengambil bahagian walaupun julung kalinya diadakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya