'Cat Bridge' bas percuma hubungkan Bukit Mertajam dan Komtar - Utusan Malaysia

‘Cat Bridge’ bas percuma hubungkan Bukit Mertajam dan Komtar

STEVEN Sim Chee Keong (lima dari kiri) dan Zairil Khir Johari (lima dari kanan) pada Majlis Pelancaran Bas Percuma 'Cat Bridge' dari Bukit Mertajam ke Komtar di Bandar Perda, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM724,000 untuk mewujudkan satu lagi perkhidmatan bas percuma iaitu ‘Cat Bridge’ yang menghubungkan kawasan Seberang Perai khususnya Bukit Mertajam dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di bahagian pulau.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan yang merangkumi laluan sejauh 26 kilometer (km) itu akan bermula dari Summit Bukit Mertajam seterusnya melalui Bandar Perda dan merentasi Jambatan Pulau Pinang sebelum berakhir di Terminal Bas Komtar.

Beliau berkata, Perkhidmatan ‘Cat Bridge’ Bukit Mertajam itu merupakan tambahan kepada perkhidmatan ‘Cat Bridge’ percuma sedia ada sebelum ini yang menghubungkan kawasan Seberang Jaya dengan Bayan Lepas.

“Sebagai langkah meringankan beban rakyat Pulau Pinang dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama, kerajaan negeri turut menaja Pas Mutiara MY50 (bagi perkhidmatan bas Rapid Penang) dan perkhidmatan feri bot laju Penang Port Sdn. Bhd. sejak 2021.

“Ini sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang mana perkhidmatan pengangkutan awamnya adalah percuma bagi semua rakyat Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran bas percuma itu di Bandar Perda, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, sebanyak lima buah bas telah disediakan bagi pengoperasian laluan baharu itu dengan purata masa perjalanan ke destinasi akhir dijangka mengambil masa selama 60 hingga 85 minit.

Katanya, pada hari bekerja, operasi perkhidmatan ‘Cat Bridge’ terbaharu itu akan bermula dari pukul 6 pagi hingga 9.30 pagi pada waktu puncak manakala operasi pada waktu puncak petang bermula dari pukul 4.50 petang hingga 7.25 malam.

“Sementara itu, pada waktu cuti hujung minggu dan cuti umum, bas ini akan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 7.25 malam dan pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan ini setiap hari mengikut waktu operasi yang telah ditetapkan.

“Para penumpang boleh mengenal pasti laluan bas ini dengan ‘wrapping’ (balutan) bas berwarna merah iaitu Bas Merah (BM) Ke Komtar,” katanya yang memberitahu, perkhidmatan bas percuma itu akan dilaksanakan untuk tempoh enam bulan bermula 1 Januari lalu itu.

Dalam masa sama, beliau turut berharap perkhidmatan ‘Cat Bridge’ BM itu diterima baik semua pengguna dalam membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dengan pengurangan kos dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Sebarang pandangan dan maklum balas daripada semua rakyat Pulau Pinang adalah diharapkan bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya