Bomba Johor periksa 182 premis sempena Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Bomba Johor periksa 182 premis sempena Tahun Baharu Cina

MOHD. RIZAL BUANG (tengah) melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan dan Op Tahun Baharu Cina di pusat beli-belah AEON Bukit Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor akan menjalankan pemeriksaan keselamatan kebakaran di 182 premis tumpuan orang ramai termasuk pusat beli-belah dan hotel sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Pemangku Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd. Rizal Buang berkata, pemeriksaan itu bagi memastikan sistem keselamatan kebombaan berada dalam keadaan baik dan berfungsi sekiranya berlaku kecemasan.

“Kita akan periksa sistem keselamatan kebakaran di kawasan tumpuan ini termasuk memantau operasi bilik kawalan dan peralatan kebakaran selain kesiapsiagaan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang bertindak mengawal kebakaran sebelum ketibaan bomba.

“Kita juga akan memastikan laluan-laluan keluar tidak terhalang yang boleh menyukarkan orang ramai melepaskan diri ke kawasan berkumpul jika berlaku kecemasan,” katanya selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan dan Ops Tahun Baharu Cina 2023 di pusat beli-belah AEON Bukit Indah, di sini hari ini.

Pihaknya turut memberi tumpuan di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai di kawasan terbuka seperti pusat peranginan, pantai dan air terjun.

Seramai 150 orang terdiri daripada pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran di zon, ketua-ketua balai bomba dan penyelia di balai ditugaskan sepanjang operasi pemeriksaan di premis itu hingga 30 Januari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Rizal berkata, pihaknya juga akan menempatkan pasukan dan jentera di dua lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan, iaitu Sedenak dan Yong Peng sepanjang musim perayaan ini bagi membolehkan pasukan tersebut memberi tindakan pantas terhadap laporan kecemasan seperti kemalangan.

“Seperti biasa di Johor ada dua lokasi, iaitu di Sedenak dan Yong Peng yang kita tempatkan jentera untuk bersedia bagi menjalankan rondaan berkala di lebuh raya selain untuk memberi bantuan pantas sekiranya berlaku kemalangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN