‘Beri peluang anak kami ke sekolah’ - Utusan Malaysia

‘Beri peluang anak kami ke sekolah’

SEBAHAGIAN anak masyarakat Orang Asli etnik Jakun yang masih tercicir dan perlu mengikuti pelajaran formal di sekolah di Kampung Sematau di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk Orang Asli etnik Jakun Kampung Sematau berdekatan Jalan Kota Gelanggi Dua-Lepar Utara di sini berharap kerajaan segera membantu menyediakan kemudahan bagi anak mereka mengikuti pelajaran di sekolah berdekatan.

Kebanyakan kanak-kanak di situ tercicir daripada alam persekolahan formal kerana tidak mampu dari segi kewangan termasuk menyediakan pakaian seragam, makanan dan peralatan belajar sedangkan etnik tersebut sudah sedar tentang kepenti­ngan pelajaran untuk bekalan kehidupan masa akan datang.

Walaupun tinggal di penempatan pinggir hutan simpanan kerajaan, kira-kira 50 anak Orang Asli etnik Jakun di situ bersemangat untuk ke sekolah tetapi berdepan kekangan sehingga menyebabkan mereka tercicir langsung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Malia Karia, 22, berkata, 10 tahun lalu ada kemudahan dan bantuan disediakan kerajaan untuk anak mereka ke sekolah berdekatan di Felda Tekam Utara, sekali gus membolehkan ramai anak Orang Asli di situ yang kini sudah remaja membaca, menulis serta mengira.

“Saya tidak tahu apa sebab bantuan seperti kemudahan pengangkutan, pakaian seragam dan peralatan belajar ini tidak disalurkan semula dan generasi anak kami selepas itu tidak dapat belajar lagi,” katanya di sini semalam.

Malia yang mempunyai dua anak berusia empat tahun dan 14 tahun berkata, pada tahun lalu ada pegawai sebuah jabatan kerajaan mula mendaftar untuk anak mereka belajar, tetapi sehingga ini tidak tahu bilakah anak di situ boleh ke sekolah.

Justeru katanya, penduduk di situ berharap kerajaan segera membantu bagi membolehkan anak mereka bersekolah kerana pelajaran antara jaminan kehidupan mereka pada masa akan datang dan tidak terbelenggu lagi dengan kemiskinan relatif.

Rakannya, Udin Sedin, 33, berkata, tanpa bantuan kerajaan, dia tidak mampu menghantar anak ke sekolah lantaran tidak berpendapatan tetap dengan kadangkala mengambil upah be­kerja sebagai pemotong rumput, pembinaan dan pembalakan.

“Anak kami kian membesar dan perlu melalui proses pem­belajaran di sekolah berdekatan yang cuma terletak kira-kira enam kilometer dengan Felda Kota Gelanggi Dua dan Felda Tekam Utara,” katanya.

Udin yang mempunyai lima anak berusia antara empat hingga 16 tahun berkata, sepatutnya dua anaknya bersekolah tetapi kekangan akibat kemiskinan, kanak-kanak di situ menghabiskan masa dengan bermain dan berkeliaran di kawasan tempat tinggal sehingga ke waktu malam.

“Kita berharap Tahun Baharu 2023 memberikan sinar yang cerah kepada anak kami dan kerajaan perlu segera cakna perkara ini untuk mengelakkan keciciran terus berlaku,” katanya.

Seorang remaja etnik Jakun yang mahu dikenali sebagai Usha memohon pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuka kelas di penempatan tersebut dengan mengajarkan anak Orang Asli di situ kemahiran awal membaca, menulis dan mengira sebelum mereka menerima pendidikan formal.

“Ada dalam kalangan remaja di sini berkebolehan membaca, menulis dan mengira dapat membantu pembelajaran awal kanak-kanak di sini untuk mengelakkan mereka tercicir di samping membina semangat untuk terus belajar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.