Bekas pengetua hadapi 13 pertuduhan kes seksual terhadap pelajar - Utusan Malaysia

Bekas pengetua hadapi 13 pertuduhan kes seksual terhadap pelajar

BEKAS pengetua yang dituduh berkaitan kes seksual terhadap pelajarnya dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengetua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan berkaitan kes seksual terhadap pelajarnya sekitar tahun 2020 dan 2021.

Tertuduh yang berusia 58 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Othman, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual, selain turut didakwa melakukan amang seksual fizikal dan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukan oleh mangsa di beberapa lokasi di sekitar daerah ini dan Marang antara November 2020 sehingga November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017.

Selain itu, tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 11(a) dan masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(c) serta Seksyen 14(d) AKSTKK 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga sehingga 30 tahun serta sebatan bagi semua pertuduhan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hayyatuddin Muhamad. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya