Bantuan RM20,000 bina semula rumah terjejas air pasang besar

Bantuan RM20,000 bina semula rumah terjejas air pasang besar

HAJIJI Noor menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa fenomena air pasang besar di Kampung Tanjung Aru Baru di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM20,000 kepada mangsa yang kehilangan rumah akibat fenomena air pasang besar di Kampung Tanjung Aru Baru.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tiga rumah yang musnah sepenuhnya akan menerima bantuan RM20,000 bagi membina semula rumah masing-masing manakala, 33 rumah yang mengalami kerosakan pula, pemiliknya akan menerima bantuan RM10,000.

Beliau berkata, secara keseluruhan 36 mangsa air pasang besar terjejas akibat air pasang besar di kampung berkenaan dan tiga daripada rumah yang terjejas musnah sepenuhnya akibat dipukul ombak.

“Kita turut memberi bantuan kecemasan untuk meringankan bebanan mangsa terjejas dengan memberi bantuan wang ihsan RM1,000 kepada setiap keluarga,” katanya semasa menyampaikan bantuan kepada mangsa air pasang besar di Kampung Tanjung Aru Baru hari ini.

Fenomena air pasang besar yang berlaku pada 22 Disember lalu telah memusnahkan tiga rumah dan menyebabkan kerosakan kepada sebahagian daripada 36 rumah di kampung berkenaan.

Mengenai rumah terjejas akibat air pasang besar di Kampung Forest Sandakan, Hajiji berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sandakan.

Terdapat perbezaan pendapat mengenai pembangunan semula rumah di kawasan tersebut, ada pihak tidak mahu ia dibangunkan semula.

“Justeru, kita sedang mencari satu kawasan yang sesuai dan ada sebahagia mangsa kita pindahkan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) buat sementara waktu. Jadi, kita tunggu dulu laporan baru kita boleh buat keputusan,” katanya.

Dalam kejadian air pasang besar di Kampung Forest, sebanyak 100 buah rumah musnah akibat dibadai ombak hingga menyebabkan lebih 600 orang dipindahkan ke Pusat Pemindahahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anib 2, Sandakan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN