PETALING JAYA: Bagi memastikan harga ayam mahupun telur tidak terus menjadi kebimbangan rakyat, kerajaan wajar membantu penternak kecil supaya dapat bersaing dengan kelompok kartel bagi memastikan kelompok itu tidak berterusan menguasai industri.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, sumber industri memberitahu, hasrat kerajaan ingin mengkaji semula harga siling ayam di peringkat runcit tidak mendatangkan kesan kepada kartel yang berada di peringkat ladang, sebaliknya menjejaskan peruncit kecil.
Walau bagaimanapun katanya, jika kerajaan mengacau margin keuntungan kumpulan kartel itu, mudah untuk mereka ‘memboikot’ sekali lagi memandangkan kelompok terbabit mengawal industri secara total.
“Mereka (kartel) nak boikot memang senang sangat, bakar sahaja anak ayam seperti sebelum ini jadi bekalan akan berkurangan dan permintaan meningkat kemudian baru boleh letak harga tinggi.
“Ini sebab anak dan dedak ayam semua datang daripada mereka. Sepatutnya bukan mengkaji harga siling tetapi cari cara bagaimana nak hasilkan dua bahan itu untuk dibekalkan kepada pemain-pemain industri kecil ni baru boleh patahkan usaha kartel,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, kerajaan bersedia untuk mengkaji semula harga siling ayam di peringkat runcit dalam masa terdekat ekoran bekalan ayam segar di seluruh negara sudah pulih seperti sebelum ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPPNS), Mohd. Muzamri Shoib berkata, sebagai penternak kecil mereka akan menerima apa sahaja keadaan pasaran ketika ditanya berkenaan usaha kartel mensabotaj usaha kerajaan.
Jelasnya, mereka kini berada dalam situasi ‘bertahan’ dengan bantuan subsidi oleh kerajaan namun hanya satu pertujuh diterima mereka sebagai penternak kontrak dan selebihnya diberi kepada integrator sedangkan yang menanggung risiko adalah pemain kecil.
“Ini tidak adil dan kebanyakan penternak kontrak di kalangan kami mula berhenti menternak disebabkan kerugian. Bagi melindungi penternak, kerajaan wajib mewujudkan harga lantai bagi ayam disebabkan ketidakadilan pembahagian subsidi ini.
“Selain itu, memperkasakan penternak kecil kerana apabila kami ramai dan bersatu padu akan dapat beri tekanan kepada kartel. Nyah sentralisasi adalah penting untuk mengurangkan pengaruh pemanipulasi pasaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya punca harga dan bekalan kembali sedikit stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, Mohd. Muzamri berkata, ia didorong keadaan ekonomi semasa dan gerak kerja oleh kerajaan itu sendiri.
“Ini disebabkan pengukuhan nilai ringgit yang mana mengurangkan kos import bahan mentah dan ia juga berpunca daripada pembayaran subsidi oleh kerajaan dengan cepat, jadi hasilnya adalah seperti sekarang.
“Namun, kerajaan jangan leka dengan perkara ini. Segala perancangan untuk menjatuhkan nilai pasaran ayam daging akan berlaku jika tidak ada kawalan,” jelasnya. – UTUSAN










