KUALA TERENGGANU: Terengganu merekodkan kerugian sebanyak RM48.7 juta dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan akibat banjir baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, nilai kerugian tersebut berdasarkan penilaian awal yang diterima daripada 3,697 orang mangsa banjir.
Menurutnya, kerugian tertinggi yang direkodkan ialah dalam bidang pertanian iaitu sebanyak RM39.2 juta melibatkan 2,555 warga tani di seluruh Terengganu.
“Sub sektor penternakan pula mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM3.4 juta melibatkan 781 penternak dan sub sektor perikanan pula sebanyak RM6.1 juta melibatkan 361 orang penternak dan nelayan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat sektor pertanian negeri Terengganu di sini hari ini.
Banjir yang melanda Terengganu bermula 18 hingga 21 Disember lalu disifatkan yang terburuk dalam tempoh 40 tahun dengan menenggelamkan kebanyakan kawasan di semua lapan daerah negeri ini.
Dr. Azman memberitahu, Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Negeri akan meneliti setiap laporan kerugian yang dialami mangsa banjir tersebut dalam masa terdekat untuk membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka.
“Bantuan ini yang berbentuk sagu hati diharap akan terus memotivasikan pengusaha untuk bangkit semula kekal meneruskan projek pertanian, penternak dan perikanan yang terjejas banjir,” jelasnya.
Dr. Azman berkata, kerajaan negeri memberi tempoh kepada semua agensi berkaitan sehingga 15 Januari ini untuk melengkapkan laporan berkaitan kerugian dalam tiga sektor tersebut.
“Pada awal Februari, kita akan bermesyuarat untuk melihat secara teliti isu kerugian ini seterusnya mengangkat permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan dana bagi membantu mereka yang terkesan akibat bencana alam kali ini,” katanya. – UTUSAN










