PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat negara ini memboikot barangan atau produk keluaran dan perdagangan dengan Sweden.
Gesaan itu dibuat sebagai bantahan terhadap tindakan biadab pemimpin parti politik konservatif Sweden, Rasmus Paludan yang mencetuskan provokasi melampau dengan membakar al-Quran di negara itu, Sabtu lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, seruan dan tindakan boikot itu penting bagi mendesak kerajaan negara itu bertindak tegas terhadap Paludan yang dengan sengaja mencetus api Islamofobia.
Katanya, tindakan membakar naskah al-Quran tersebut bukan semberono, sebaliknya tersembunyi agenda menyemarakkan sentimen kebencian terhadap agama Islam dan menyebarkan Islamofobia secara terang-terangan.
Malah tegasnya, retorik dilaungkan kerajaan Sweden, kononnya memberi kebebasan berekspresi dan bersuara, jelas apabila langsung tidak mengambil tindakan tegas terhadap Rasmus yang telah mencetuskan ketegangan antara agama bukan saja di Sweden, malah merebak ke seluruh dunia.
“MAPIM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap itu. Nampaknya, kerajaan Sweden yang kononnya mengagungkan polisi kebebasan berekspresi dan bersuara, namun tidak pula menghormati sikap antarabangsa supaya mewujudkan keharmonian beragama,” katanya sewaktu dihubungi semalam.
Mohd. Azmi berkata, tindakan tersebut cuma bertopengkan idea ‘kebebasan’, namun di belakangnya terkandung ancaman provokasi terhadap Islam.
“Ini bukan kali pertama kes membakar al-Quran dilakukan. Jelas bahawa ini merupakan satu provokasi.
“Pemimpin parti politik, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran betul-betul berpegang kepada sikap Islamofobia dan intimidasi melampau terhadap Islam,” katanya.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata, warga Muslim seluruh dunia berhak memberi reaksi balas terhadap provokasi itu kerana ia dicetuskan dengan sengaja oleh pihak yang anti-Islam.
Dalam pada itu, beliau berkata, Mapim akan mengantar satu nota bantahan kepada Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson bagi menggesa tindakan tegas diambil ke atas Rasmus.
Jelasnya, nota bantahan itu dirancang untuk diserahkan pihaknya pada 27 Januari melalui Kedutaan Sweden di Malaysia.
Sabtu lalu, Paludan membakar al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di ibu negara Sweden.
Tindakan itu mencetuskan ketegangan geopolitik di antara Sweden dengan Turkiye, ketika Stockholm cuba menyakinkan Turkiye yang menjadi sebahagian anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), untuk meluluskan Sweden dan Finland menyertai pakatan tentera surnasional tersebut. – UTUSAN











