AYG mahu wujudkan lebih banyak 'ruang selamat' untuk belia - Utusan Malaysia

AYG mahu wujudkan lebih banyak ‘ruang selamat’ untuk belia

MUHAMMAD NIZAM Samsudin (dua dari kiri) mendengar penerangan oleh Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika meninjau operasi Pusat Interaksi Belia Pangsapuri Wakaf An-Nur di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti, ADAB Youth Garage (AYG) berharap dapat menubuhkan lebih banyak pusat interaksi belia atau dikenali sebagai ‘ruang selamat’ dalam usaha melahirkan lebih ramai anak muda yang kompeten pada masa depan.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AYG, Muhammad Nizam Samsudin berkata, ketika ini, sebanyak lapan buah pusat interaksi belia ditubuhkan di Selangor dan satu di Johor.

Katanya, Pulau Pinang menjadi destinasi terbaharu penubuhan pusat itu hasil kerjasama strategik yang dijalin bersama kerajaan negeri; Wakaf Pulau Pinang (WPP), Etiqa Cares serta beberapa pihak lain.

“Bagaimanapun, pendekatan (dari segi penubuhan pusat interaksi belia) di Selangor, Johor dan Pulau Pinang ini berbeza dan itulah yang mematangkan kita.

“Kita beri khidmat kepada komuniti setempat untuk biar mereka (golongan belia) ini rasa selamat, mak ayah pun rasa selamat. Kita ada model (pusat interaksi belia) yang berjaya di Bandar Baru Bangi, Selangor untuk rujukan.

“Di sini, ada pelbagai kemudahan dan aktiviti untuk mereka seperti komputer, perpustakaan mini dan sebagainya, semuanya tidak dikenakan bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Interaksi Belia Pangsapuri Wakaf An-Nur oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Telok Air Tawar, di sini hari ini.

Yang hadir sama pada majlis yang turut melibatkan acara pertukaran memorandum persefahaman antara AYG dengan WPP berhubung penubuhan pusat interaksi belia itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif WPP, Rosidi Hussain.

Difahamkan, AYG kini sedang meneroka peluang untuk menubuhkan sekurang-kurangnya tiga lagi pusat interaksi belia baharu termasuk di Kedah dan Perak dalam tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin memberitahu, kewujudan pusat interaksi belia di Pulau Pinang akan menjadi penghubung kepada program-program memperkasakan golongan tersebut yang telah wujud sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berharap kemudahan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya dalam membantu membentuk sahsiah serta jati diri mereka dalam mendepani pelbagai cabaran masa kini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya