Anwar tidak patut tersinggung - Muhyiddin

Anwar tidak patut tersinggung – Muhyiddin

ANWAR IBRAHIM dan MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendirian, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang ditimbulkan sewaktu ceramah politik.

Muhyiddin sebaliknya menegaskan, sebagai pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Anwar seharusnya menjawab pertanyaan yang ditimbulkan secara terbuka dan sepenuh hati serta menafikan sebarang dakwaan yang dibangkitkan.

Ujar bekas Perdana Menteri, selaku tokoh awam dan pemimpin parti, mereka sentiasa berhadapan dengan dakwaan yang mungkin disalah nyata, disalah sebut atau diambil di luar konteks oleh media.

Sehubungan itu, Muhyiddin mendakwa, ucapannya semasa ceramah ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berunsur fitnah, sebaliknya adalah komen yang adil.

“Ucapan tersebut sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong seorang calon PRU15 bagi kawasan Parlimen Padang Serai ketika itu,” ujarnya.

Muhyiddin menyatakan demikian dalam penyataan pembelaan berkaitan saman fitnah yang dikemukakan oleh Perdana Menteri berhubung ceramah menjelang pilihan raya di Padang Serai, bulan lalu.

Saman itu berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa berbaur fitnah yang menyatakan Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Dalam pernyataan pembelaannya, Pengerusi PN itu mendakwa beliau tidak mempunyai pengetahuan atau kawalan mengenai akaun TikTok di bawah nama “@beritakini8”, yang memuat naik video ucapan tersebut.

“Keseluruhan ucapan pada ceramah itu telah diterbitkan semula di akaun Facebook saya di bawah nama ‘Muhyiddin Yassin’. Saya tidak secara peribadi mengawal atau memuat naik sebarang bahan ke akaun Facebook saya,” dakwanya.

Selain itu, Muhyiddin mendakwa beliau tidak mempunyai sebarang pengurusan, kawalan atau kuasa atas mana-mana penerbitan kenyataan dalam ucapan tersebut yang diterbitkan MalaysiaKini bertajuk `MB’s aide to Muhyiddin: Anwar paid RM1 as S’gor economic adviser’.

Pada 20 Disember 2022, Perdana Menteri memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berhubung dakwaan beliau (plaintif) menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Dalam saman itu, Anwar, 75, mendakwa Pengerusi PN itu telah membuat kenyataan fitnah dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim, Kedah pada 5 Disember 2022.

Ucapan itu dibuat sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi PRU15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa sehari selepas surat saman dikeluarkan, keseluruhan ucapan Muhyiddin dalam ceramah itu diterbitkan selanjutnya di bawah akaun Facebook defendan.

Menurut Anwar, dakwaan itu sebagai fitnah, palsu dan memperlekehkan dirinya, serta dibuat dengan niat jahat.

Plaintif antara lain mendakwa, kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku penasihat ekonomi dan menipu orang ramai.

Sehubungan itu, Anwar menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Pada 7 Disember 2022, laporan sebuah portal berita menyebut, Pejabat Menteri Besar Selangor menyangkal dakwaan Muhyiddin dan sebaliknya mendedahkan bahawa Anwar hanya dibayar simbolik RM1 setahun sebagai penasihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya