PETALING JAYA: Seorang wanita warga Rusia yang dikenali sebagai Angela Nikolau menyifatkan, dakwaan dia dan pasangannya tiada rekod perjalanan keluar atau masuk ke negara ini sebagai satu putar belit yang menarik.
Dia berkata demikian ketika membalas satu ciapan sebuah portal berita di laman Twitter, hari ini.
“Interesting plot twist🤔(putar belit yang menarik),” ciapnya.
Sabtu lepas, Utusan Malaysia mendedahkan, wanita itu bersama pasangannya yang tular selepas memuat naik klip video berada di puncak Menara Merdeka 118 di ibu negara baru-baru ini tiada rekod keluar atau masuk di Jabatan Imigresen Malaysia.
Bagaimanapun, sumber memberitahu, pihak berkuasa akan terus menyiasat secara terperinci berhubung perkara itu.
Angela sebelum ini pernah mendedahkan pengalamannya menceroboh menara berkenaan sehingga memanjat ke puncak bangunan tersebut.
Pada 29 Disember lalu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan dari Rusia yang dipercayai memanjat menara terbabit.
Polis juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang memuat naik hantaran mengenai pencerobohan berkenaan. –UTUSAN