Agihan kerusi PN di 6 negeri 80 peratus selesai - Utusan Malaysia

Agihan kerusi PN di 6 negeri 80 peratus selesai

ABDUL HADI Awang bersama Dominic Lau (kiri) dan Oh Tong Keong (kanan) pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi dialog bersama pemimpin Gerakan di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang di George Town, malam tadi. – Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perikatan Nasional (PN) telah menyelesaikan kira-kira 80 peratus pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti-parti komponen PN sebelum ini juga telah mengadakan perbincangan secara langsung mengenai soal agihan kerusi itu ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sehubungan itu jelas beliau, perbincangan ketika PRU-15 tersebut akan menjadi asas untuk menghadapi PRN selain akan terus dilakukan secara berpanjangan dan dari semasa ke semasa.

Menurut Abdul Hadi, selain menyelesaikan soal agihan kerusi DUN, PN juga akan merangka strategi-strategi untuk berdepan dengan PRN bagi memastikan gelombang kemenangan PN ketika PRU-15 kekal berpihak kepada gabungan tersebut.

“Gelombang PRU-15 memberi dokongan yang kuat kepada negeri-negeri apabila kita menyapu bersih kerusi di negeri-negeri.

“Kita berjaya perintah Kelantan, Terengganu dan hanya terlepas satu kerusi di Kedah, ia menandakan kita ada kekuatan dan menerusi `post mortem’ yang dibuat kita mendapati undi DUN kita menang keseluruhannya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Terdahulu, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas mengadakan sesi dialog berkenaan isu-isu terkini bersama ahli-ahli Gerakan yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau dan Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong.

Pada PRU-15, enam negeri iaitu Kedah; Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh kelak.

Tambah Abdul Hadi, beliau yakin gelombang kemenangan PN pada PRU-15 akan berpanjangan memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini berada dalam keadaan yang tidak menentu.

“Nak kata perpaduan pun bukan perpaduan, kalau perpaduan mestilah kerajaan yang tidak ada pembangkang atau pembangkang terlalu kecil sehingga tidak ada peranan, itu baru dikatakan kerajaan perpaduan.

“Jika separuh pembangkang, separuh itu (kerajaan), ia bukan perpaduan, istilah pun tidak betul dan masih banyak masalah tidak dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya