5,572 kes dera, abai kanak-kanak dikendali JKM

5,572 kes dera, abai kanak-kanak dikendali JKM

NANCY Shukri berbual bersama Penyelaras Kanak-Kanak Negeri dan Pelindung Daerah selepas sesi Town Hall di Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 5,572 kes melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga November tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Nancy Syukri berkata, kes-kes tersebut membabitkan penderaan fizikal, seksual, emosi serta pengabaian yang dikendalikan oleh pegawai pelindung di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Saya menyeru kepada semua pegawai JKM serta warga KPWKM supaya sentiasa memantau isu-isu kanak-kanak yang berlaku di media sosial dan anggaplah mereka ini seperti anak sendiri.

“Kita semua juga berupaya untuk menjadi duta untuk JKM, supaya rakyat tahu dan faham akan tugasan dan tanggungjawab kita sebagai pegawai JKM terutamanya mereka yang bertugas di lapangan,” katanya ketika berucap pada sesi Town Hall Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) JKM 2023 di sini hari ini.

Tambah Nancy, KPWKM juga baru sahaja menerima seramai 120 orang pegawai pelindung yang melapor diri Isnin lalu dan mereka ditempatkan di seluruh negara.

“KPWKM berusaha untuk menambah bilangan pegawai pelindung dan pegawai akhlak bagi membantu di lapangan dengan melantik secara berfasa seramai 1,120 orang Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPPM) Gred S29 secara kontrak dalam tempoh lima tahun bermula pada 2021.

“Sehingga kini seramai 185 orang dilantik dan diwartakan pada fasa pertama 2021 dan pelantikan 158 orang PPPM diteruskan pada tahun ini dalam memberi fokus kepada pengurusan kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat koordinasi bersama kementerian-kementerian berkaitan mengenai keperluan pendidikan seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata, mesyuarat koordinasi tersebut diadakan supaya setiap kementerian dapat memainkan peranan masing-masing dalam isu berkenaan termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan, Kementerian Perpaduan dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

“Ia perlu ada sebuah ekosistem di dalam komuniti dan mungkin (libatkan) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Belia dan Sukan.

“Ini kerana (pendidikan seksual) tidak seharusnya dipertanggungjawabkan ke atas kita sahaja, sebab itu kita perlukan mesyuarat koordinasi seperti ini supaya kementerian serta masyarakat (dapat bekerjasama),” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya