4 ahli sindiket penipuan emas dicekup

4 ahli sindiket penipuan emas dicekup

NOORSIAH SAADUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat individu terbabit sindiket penipuan emas ditahan polis dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu. 

Kesemua suspek terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 26 hingga 45 tahun dipercayai berperanan sebagai keldai akaun dan dalang utama ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Berdasarkan siasatan, sindiket tersebut bergerak aktif menjalankan penipuan sejak tahun lalu dengan mewujudkan kumpulan melalui aplikasi Telegram dan Instagram bagi mengiklankan barang kemas kemudian mencari mangsa

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, antara kumpulan dikenal pasti adalah Kedai Emas Merchant, Kedai Emas Lelong 916, Emas Zakaria, Kedai Emas Mira Gold,  Emas Rozita Ipoh. 

Katanya, mangsa yang berminat dengan barangan kemas yang diiklan akan dihubungi oleh sindiket dan diarahkan membuat pembayaran ke akaun tertentu. 

“Bagaimanapun, setelah pembayaran dibuat, barang kemas yang dijanjikan tidak diterima oleh mangsa.

“Polis percaya menerusi penahanan individu berkenaan dapat menyelesaikan enam kes membabitkan jumlah kerugian RM17,100,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, polis turut merampas enam unit telefon bimbit, dua kad pengeluaran wang automatik (ATM), satu kad akses dan tujuh helai salinan perbualan WhatsApp yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian.

Ujar beliau, semua individu terbabit ditahan reman dua hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada bagi mencegah kes sedemikian daripada terus berleluasa dan mengambil langkah-langkah seperti melakukan transaksi pembelian dalam talian hanya melalui platform jualan sah bagi memastikan hak sebagai pembeli sentiasa dilindungi.

“Sentiasa berwaspada apabila membuat sebarang transaksi dalam talian dengan individu yang tidak dikenali di laman sosial yang menawarkan pelbagai tawaran barangan dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.– UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya