30 pemilik persoal di kompaun RM1,000 oleh MPK

30 pemilik persoal di kompaun RM1,000 oleh MPK

SEBANYAK 30 pemilik kenderaan mempersoal tindakan MPK keluarkan kompaun RM1,000 kerana meletakkan kenderaan di padang di Dewan Eng Ann, Taman Eng Ann, Petaling Jaya..
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 30 pemilik kenderaan mempersoal tindakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,000 kerana meletakkan kenderaan mereka di padang di Dewan Eng Ann, Taman Eng Ann, dekat sini, hari ini.

Mereka meletakkan kenderaan itu selepas menghadiri pertandingan Taekwando di dewan berkenaan yang dianjurkan peringkat daerah. 

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Nantharajan, 43, berkata, dia terkejut selepas melihat jumlah saman yang dikeluarkan MPK itu. 

“Saya pelik, kerana program yang dihadiri hari ini adalah pada hari cuti iaitu hari Ahad, jumlah kompaun itu sangat tidak masuk akal. 

NOTIS kompaun yang diterima pemilik selepas meletakkan kenderaan mereka di hadapan Dewan Serba Guna Eng Ann.

“Kebanyakan yang hadir adalah ibu bapa dari pelbagai sekolah di seluruh daerah ini. Memandangkan kawasan ini adalah taman perumahan dan tiada papan tanda larangan meletakkan kenderaan di kawasan itu, ianya amat tidak adil kepada kami,” katanya di sini.

Sementara itu, seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Hafiz, 37, pula kecewa dengan sikap tidak bertimbang rasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. 

“Saya sangat kesal, mereka sepatutnya bertimbang rasa kerana padang itu adalah hak milik awam, memang mempunyai akses jalan untuk meletakkan kenderaan di kawasan pinggir padang. 

“Sepatutnya penguat kuasa boleh memberi amaran dengan membuat pengumuman terlebih dahulu kerana kami hanya berada di dalam dewan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kesemua pemilik kenderaan itu memohon Yang Dipertua (YDP) MPk untuk mengambil tindakan sewajarnya susulan pengeluaran kompaun yang tidak adil dan tinggi. 

“Kami mohon MPK lebih bertimbang rasa, jumlah RM1,000 bukanlah jumlah yang sedikit, bayangkan jika hampir semua kenderaan yang dipakir dikenakan kompaun,” katanya.

Dalam pada itu, pihak MPK ketika dihubungi akan berhubung dengan jabatan berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN