KUALA LUMPUR: Penyanyi, Yazmin Aziz mengatur strategi untuk menembusi pasaran Filipina menerusi lagu berbahasa Inggeris/Tagalog, Lihim yang bakal dikeluarkan awal tahun depan.
Berkongsi perkara tersebut, penyanyi berdarah Melayu-Filipina itu memaklumkan, lagu berentak akustik tersebut melibatkan kerjasama dengan pemuzik negara itu yang terkenal dengan jolokan Raja R&B Filipina, Jay R.
“Lagu yang saya cipta sepenuhnya itu pernah diperdengarkan di YouTube dan menerima sambutan menggalakkan. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, saya tidak berpeluang merakamkannya di studio.
“Hasrat itu tercapai tahun ini dan sekarang saya menunggu masa yang sesuai untuk memperdengarkannya dalam versi rakaman kepada peminat.
“Saya masih belum dapat memastikan bila lagu itu akan dipromosikan di Filipina kerana buat masa ini, ia masih dibincangkan dengan Jay R. Saya harap, ia dapat dilakukan awal tahun hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Yazmin mencipta nama menerusi platform YouTube dan TikTok serta merupakan pemenang tempat keempat program realiti, Big Stage 2022.
Kata Yazmin, dia terpanggil untuk mencuba nasib di Filipina selepas menerima maklum balas positif daripada peminatnya di sana yang sering mengikuti perjalanan kerjaya seninya di media sosial.
“Mereka selalu mengikuti perkembangan saya di YouTube dan TikTok sebelum saya mencipta nama di Malaysia.
“Kebanyakan peminat Filipina menantikan saya merakamkan lagu berbahasa Tagalog. Namun, disebabkan banyak kekangan sebelum ini, saya tidak berpeluang menghadiahkannya untuk mereka.
“Saya tahu bukan mudah untuk mencuba nasib di sana, pasti ada cabaran yang kena saya hadapi. Tapi, saya yakin boleh melakukannya dengan sokongan peminat di negara itu,” ujarnya.