PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbang untuk menambah baik undang-undang lapuk yang tidak menepati perkembangan dan peradaban termasuk melibatkan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Penyanyi itu berharap Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) membetul dan menambah baik undang-undang lapuk terutama kes berkaitan dadah yang kini tidak lagi mengikut peredaran semasa.
Dalam pada itu, Yasin, 47, turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikan beliau selaku Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.
“Belum terlewat untuk saya ucapkan tahniah kepada beliau di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri. Beliau telah mengharungi perjuangan yang dahsyat namun dengan kuasa Allah SWT, akhirnya dilantik menjadi pemimpin kita,” katanya.
Yasin ditemui wakil media selepas prosiding sebutan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bagi mengetahui perkembangan representasi berkaitan tiga pertuduhan dadah yang dikemukakan kepada pihak pendakwaan.
Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad menangguhkan keputusan representasi kepada 11 Januari ini selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih menunggu keputusan ketiga-tiga representasi berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin bersetuju satu tarikh singkat bagi keputusan representasi itu selain mengesahkan masih menunggu keputusan tersebut representasi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin berkata, pasukan pembelaan tetap optimis bahawa representasi itu yang berpaksikan kepada kemanusiaan dan kesihatan akan diberi pertimbangan sewajarnya.
“Hari ini ditetapkan untuk keputusan representasi, namun kami dihubungi oleh pendakwaan bahawa mereka memerlukan sedikit masa. Tiada masalah untuk keputusan representasi dalam tempoh singkat, dalam tiga minggu ini,” katanya yang turut hadir bersama seorang lagi peguam Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff.
Dalam prosiding terdahulu, pihak pembelaan memaklumkan representasi yang dikemukakan antaranya melibatkan dokumen-dokumen perubatan yang mana ia agak komprehensif untuk pihak pendakwaan mengkaji terhadap pertuduhan tersebut.
Pada 22 Ogos lalu, mahkamah sama menetapkan perbicaraan tiga pertuduhan dadah yang dihadapi oleh Yasin didengar selama 15 hari bermula Mac depan.
Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac yang mana seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. Pada 6 Julai lalu, penyanyi itu bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram.
Perkara itu ditentukan apabila pertuduhan mengedar ditarik balik dan Muhammad Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram. Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, Yasin yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Yasin turut didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memberi dirinya dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid di Pejabat Narkotik Ibu pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN