Warga emas antara 7 ditahan jadi keldai akaun - Utusan Malaysia

Warga emas antara 7 ditahan jadi keldai akaun

ANTARA suspek yang dipercayai menjadi keldai akaun oleh sindiket penipuan yang ditahan polis Pulau Pinang dalam beberapa siri serbuan di beberapa negeri antara Selasa lalu hingga semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Polis Pulau Pinang menahan tujuh individu termasuk seorang warga emas yang dipercayai menjadi keldai akaun oleh sindiket penipuan dalam beberapa siri serbuan di beberapa negeri antara Selasa lalu hingga semalam.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, empat suspek lelaki dan seorang wanita disyaki menjadi keldai akaun sindiket penipuan melibatkan penipuan tawaran kerja sambilan serta pinjaman wang tidak wujud dalam talian.

Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, seorang lelaki dan seorang wanita warga emas menjadi keldai akaun sindiket dalam urusan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan dan penyamaran sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

”Kesemua suspek berusia antara 27 hingga 61 tahun dan mereka ditahan di sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan kes-kes yang dilaporkan pada 2019, 2021 dan tahun ini.

”Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah antara RM1,330 sehingga RM19,200,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu menambah, kesemua mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

”Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan antaranya jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara dan Macau scam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, kenyataan tersebut turut memaklumkan polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menjual air ketum selepas menahan 11 lelaki berusia 22 hingga 40 tahun dalam serbuan di sekitar Batu Maung, dekat sini semalam.

Jelasnya, sindiket itu dipercayai memproses air ketum di sebuah rumah sebelum menjualnya kepada pembeli tetutama pelanggan tetap dengan harga RM5 setiap bungkus.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 70 bungkus plastik lutsinar berisi air ketum dan pelbagai peralatan untuk memproses air tersebut.

”Sindiket tersebut dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN