Wanita warga emas mengaku tidak salah ubah wang haram hasil jual bayi - Utusan Malaysia

Wanita warga emas mengaku tidak salah ubah wang haram hasil jual bayi

SEORANG wanita warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram menerusi aktiviti penjualan seorang bayi perempuan sebanyak RM12,000 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang wanita warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram menerusi aktiviti penjualan seorang bayi perempuan sebanyak RM12,000 tahun lalu.

Tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Jamaliah yang juga bekas guru tuisyen didakwa menerima wang tunai berjumlah RM12,000 yang merupakan hasil aktiviti haram di lobi sebuah hotel di Jalan Penang di sini, kira-kira pukul 7 malam, 15 Disember 2021.

Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, saspek dipercayai telah mengiklankan di laman sosial Facebook menerusi ‘Group Pencarian Anak Angkat’ kepada pasangan-pasangan yang ingin mencari anak angkat sebelum didakwa menjual bayi tersebut pada harga RM12,000 kepada pasangan suami isteri dari Terengganu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong manakala tertuduh diwakili peguam, Md. Yusuf Md. Idris.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 haribulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Mahkamah turut menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.