UMNO hanyut, hilang pegangan - Presiden Pas

UMNO hanyut, hilang pegangan – Presiden Pas

abdul hadi
ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO kini hanyut terutama ketika menghadapi krisis kepemimpinan yang menyebabkan parti itu hilang pegangan ideologi perjuangannya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, terdapat kelompok di dalam UMNO yang melompat ke arah Pakatan Harapan (PH) iaitu gabungan antara parti DAP berideologi cauvinis, sosialisme bertopengkan demokratik sekular dan terbuka anti-Islam.

Katanya, PH menubuhkan kerajaan Pusat walaupun jumlah kerusi tidak mencukupi kerana bergayut kepada parti-parti kecil yang rapuh tanpa ideologi  konsisten.

“Undi yang dihasilkan pula datang daripada majoriti bukan Islam, bersama slogan menipu rakyat yang kuat bunyinya. Kononnya mahu menghapuskan rasuah, menentang perompak dan lanun yang terlibat dalam penyalahgunaan harta negara dan lain-lain. 

“Rupa-rupanya semua itu laksana tin kosong yang kuat bersuara tanpa isi yang sebenar, apabila semua pihak yang diserang itu menjadi rakan akrab mereka bagi menubuhkan kerajaan di luar tabii,” katanya di dalam satu kenyataan.

PH yang memenangi 81 kerusi Parlimen di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membentuk kerajaan perpaduan dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas  mendapat sokongan daripada Barisan Nasional (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (23 kerusi) dan beberapa parti lain.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, UMNO yang didakwanya kini sedang diheret oleh segelintir pemimpin melakukan normalisasi terhadap PH, iaitu konsep yang diperkenalkan oleh Barat kepada negara Arab terhadap Israel.

Jelasnya, situasi tersebut seolah-olah mahu menukar matahari agar terbit pada waktu malam yang gelap bukan sebagaimana secara normalnya.

“Namun, dalam UMNO masih terdapat ramai kepemimpinan di semua peringkat sehingga akar umbi yang masih setia kepada pelembagaannya yang mempertahankan Islam, Melayu serta bumiputera.

“Mereka tidak reda kepada kapten yang membawa bahteranya tanpa kompas yang betul, sehingga boleh melanggar batu karang yang dapat dilihat dengan nyata, atau dilingkup oleh ombak besar gelora politik yang sedang menggila untuk berkuasa dengan teori matlamat menghalalkan segala cara dengan meneruskan amalan politik luar tabii itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.