HULU SELANGOR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan hanya satu mangsa insiden tanah runtuh Fathers’ Organic Farm, (FoF) di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, belum ditemukan sehingga hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki berdasarkan laporan polis yang diterima pihaknya daripada keluarga mangsa.
“Ya sorang lagi, kanak-kanak lelaki. Maklumat lanjut saya tidak boleh beri lagi,” katanya pada sidang media operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian di sini, petang tadi.
Sebelum itu, Arjunaidi turut mengumumkan berlakunya pengurangan jumlah mangsa daripada 94 ke 92 orang disebabkan pertindihan daftar nama sebelum ini.
Ditanya sama ada operasi SAR akan diteruskan atau tidak memandangkan sudah memasuki hari ketujuh, Arjunaidi berkata ia akan diteruskan buat masa ini.
“Kita teruskan operasi, saya tidak boleh beri keputusan sehingga jumpa atau apabila kita terima arahan terbaharu.
“Untuk hari ini kita tangguh sehingga keadaan selamat untuk kita menyambung operasi kerana ketika ini hujan lebat. Pihak geologi kena semak sama ada terdapat pergerakan tanah atau tidak,” katanya.
Terdahulu media melaporkan pasukan SAR berjaya menemukan empat mangsa yang merupakan seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan di sektor C (Riverside) pukul 11.04 pagi.
Bagaimanapun operasi SAR yang dimulakan pada jam 8 pagi tadi dihentikan sekitar jam 2.30 petang ekoran hujan lebat. – UTUSAN