KUALA KRAI: Ketika kesesakan luar biasa berlaku menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, sekumpulan sukarelawan tampil menghulurkan bantuan dengan mengagihkan kira-kira 1,000 pek juadah berbuka puasa kepada perantau yang terperangkap di jalan raya, petang semalam.
Inisiatif oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cempaka Merah Asnaf Society itu menjadi ‘penyelamat’ kepada pengguna laluan Gua Musang-Kuala Krai yang tidak sempat mencari juadah berbukanakibat perjalanan yang tertangguh.
Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed berkata, program yang bermula seawal pukul 6 petang hingga waktu berbuka itu menyasarkan perantau yang terkandas dalam aliran trafik perlahan menuju ke Pantai Timur.
“Ramai perantau terperangkap berjam-jam di jalan raya. Jadi, kami ambil inisiatif mengagihkan juadah supaya mereka dapat berbuka walaupun masih dalam perjalanan. Sekurang-kurangnya ia dapat mengalas perut sebelum mereka tiba ke destinasi masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Che Norhayati berkata, setiap bungkusan mengandungi nasi goreng, kuih-muih, kurma dan air mineral bagi memenuhi keperluan asas berbuka puasa.
Katanya, program tersebut merupakan penganjuran kali kelima hasil sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap kebajikan perantau.
“Tahun ini sambutan sangat menggalakkan. Ramai yang meluahkan rasa syukur kerana bantuan ini benar-benar membantu dalam keadaan mereka keletihan dan lapar. Ada yang tidak menyangka masih ada pihak yang mengambil berat kebajikan mereka ketika tersekat di jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN










