Tidak mesti ketua parti jadi Ketua Pembangkang

Tidak mesti ketua parti jadi Ketua Pembangkang

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin layak dan wajar dinamakan sebagai Ketua Pembangkang kerana mempunyai latar belakang politik yang menonjol berbanding pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, mana-mana ahli Parlimen yang berada di blok pembangkang boleh dijadikan ketua pembangkang jika dipersetujui semua.

“Jika kita lihat pada pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tempoh hari, itu juga tidak mengikut hierarki parti. Perkara ini adalah satu bentuk praktis namun bukanlah perlu diikut.

“Lihat pada pengalaman Hamzah, sejak dari dalam UMNO beliau adalah individu yang mampu untuk mengemukakan hujah-hujah dengan berani.

“Sepatutnya tiada pertikaian berlaku kerana sudah tentu Hamzah dinamakan sebagai ketua pembangkang selepas dipersetujui barisan pembangkang,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, mesyuarat Pimpinan PN bersetuju menamakan Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut berkata mesyuarat juga bersetuju melantik Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Ahli Parlimen PN manakala Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Timbalan Ketua Ahli Parlimen PN.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik Dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata Hamzah layak mendapat jawatan itu kerana kebolehannya menghadirkan diri ke Parlimen.

“Memang janggal untuk lihat ahli Parlimen yang bukan presiden parti menjadi ketua pembangkang namun tidaklah termaktub dalam mana-mana peraturan yang tidak membenarkannya.

“Kita sudah biasa dengan ketua pembangkang itu dilantik dari kalangan presiden parti dan parti yang menang paling besar. Tambahan pula, Hamzah itu adalah hanya mempunyai jawatan dalam parti menerusi lantikan.

“Bagaimanapun, saya juga melihat kehadiran Hamzah ke Parlimen juga melayakkan beliau menjadi ketua pembangkang kerana jawatan itu perlulah diisi oleh individu yang mampu untuk berada di Parlimen dan mengemukakan hujah,”ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN