Tentera Darat tidak kompromi kes salah laku anggota, pegawai 

Tentera Darat tidak kompromi kes salah laku anggota, pegawai 

ZAMROSE Mohd. Zain bersama perajurit muda yang menerima anugerah pelbagai kategori pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Tentera Darat Siri 195/22 di Padang Kawad, Pusasda, Port Dickson, hari ini. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tentera Darat Malaysia tidak akan berkompromi dengan kes salah laku jenayah yang melibatkan anggota dan pegawai perkhidmatan itu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, hukuman akan diambil kepada mereka yang terlibat dalam kes salah laku termasuk tindakan pemberhentian perkhidmatan.

Bagaimanapun jelas beliau, setakat ini kes salah laku melibatkan anggota dan pegawai tentera darat tidak berada di tahap membimbangkan.

“Memang ada salah laku tapi perkara itu tidak ketara, lebih kurang 0.5 peratus dan bawah daripada satu peratus.

“Jika mahu sifar kes ini (salah laku), mungkin agak sukar tetapi kami sentiasa mengingatkan warga tentera darat apabila membuat pemilihan perajurit ini, kami telah buat tapisan latar belakang sebelum mereka memasuki kursus perajurit ini. 

“Saya tidak akan berkompromi kalau kes salah laku melibatkan disiplin, kalau tidak hadir perbarisan kami masih boleh memberi hukuman biasa tetapi kalau kes dadah, ragging, merompak, kes rasuah, kami tidak ada tolak ansur,” katanya .

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Tentera Darat Siri 195/22 yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Ketua Staf Tentera Darat, Datuk Mohd. Sofi Md. Lepi dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Zamrose menjelaskan lagi, sebelum sesi pemilihan pihak Tentera Darat Malaysia telah menghantar peribadi semua perajurit kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk saringan. 

“Semua kami telah buat saringan sama ada mereka ada kes jenayah atau salah laku tetapi apabila mereka masuk dalam pasukan, sering berlaku pengaruh dari luar menyebabkan mereka terjebak. 

“Ada juga kes melibatkan ‘online gaming’ yang memberi implikasi berkaitan kewangan. Bagaimanapun, ia terkawal, pelbagai pendedahan yang telah kami laksanakan termasuk sesi kaunseling agar mereka (anggota) tidak terlibat dalam kes salah laku,” katanya. 

Sementara itu, menurut beliau, seramai 2,417 orang Perajurit Muda Lelaki berjaya menjalani latihan asas ketenteraan yang telah dimulakan pada 10 Jun lalu.

“Mereka telah menjalani latihan asas ketenteraan yang meliputi aspek pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, pengendalian senjata, latihan jasmani dan kemahiran perang. Selain itu, mereka turut diberikan pendedahan di dalam aspek pengukuhan kerohanian dan moral,” ujar Zamrose.

Seramai lima orang perajurit muda telah dipilih menerima anugerah dengan kategori Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik disandang oleh Muhammad Fazdli Ilahi, Ketenteraan Terbaik (Muhammad Taqiuddin), Kawad Terbaik (Muhammad Amar Ridzuan), Akademik Terbaik (Luqman Hakim) dan Jasmani Terbaik (Binun Jubi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya