Suspek samun guna pistol mainan direman enam hari - Utusan Malaysia

Suspek samun guna pistol mainan direman enam hari

SUSPEK kes samun kedai emas menggunakan pistol mainan (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapatkan perintah tahanan reman hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun kedai emas menggunakan pistol mainan di Jalan Sultan Iskandar di sini semalam, direman selama enam hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun sehingga Isnin ini dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus di Mahkamah Majistret Ipoh dekat sini.

Difahamkan, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu patah tangan kiri dipercayai terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain negatif dadah.

Katanya, suspek yang merupakan bekas pemandu lori itu juga didapati pertama kali melakukan jenayah samun.

“Suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun menggunakan senjata.

“Sebaik sahaja siasatan lengkap, kita akan menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya bagi tujuan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Sultan Iskandar pada pukul 2 petang, semalam.

Suspek diberkas ketika sedang dikejar orang awam di Jalan Dato Onn Jaafar dekat sini.

Tangkapan terhadap suspek dalam tempoh 30 minit selepas kejadian samun membawa kepada penemuan sepucuk pistol mainan plastik dalam beg silang lelaki itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya