Sultan Selangor, Permaisuri zahir penghargaan kepada pasukan penyelamat - Utusan Malaysia

Sultan Selangor, Permaisuri zahir penghargaan kepada pasukan penyelamat

Selangor penghargaan
SULTAN Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan zahir penghargaan kepada agensi keselamatan yang menjalankan operasi SAR dekat lokasi tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor. - Gambar Pejabat Sultan Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan penghargaan terhadap pasukan keselamatan yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.

Baginda berdua dilaporkan bertitah, anggota-anggota keselamatan bertungkus lumus menjalankan operasi mencari sembilan lagi mangsa yang dalam tragedi di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu.

“Baginda berkenan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota-anggota keselamatan yang masih bertungkus lumus menjalankan SAR sembilan lagi mangsa tragedi tanah runtuh di sana.

“Baginda bangga dengan kesiapsiagaan yang ditunjukkan dan sinergi pelaksanaan terbaik oleh setiap agensi yang terlibat sejak hari pertama,” kata satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor, hari ini.

Sebanyak lima agensi penyelamat yang terlibat dalam operasi SAR iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, turut serta dalam SAR sama adalah Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor.

“Baginda berdua amat menghargai usaha dan kesungguhan semua pihak dan turut khuatir apabila diberitahu bahawa ada anggota yang cedera, sakit dan berdepan cabaran getir sepanjang operasi ini berjalan. 

“Baginda bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini juga akan menyukarkan lagi usaha-usaha SAR yang sedang giat dilaksanakan sejak 16 Disember lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Norashikin turut mendoakan semua yang terlibat SAR akan terus bersemangat dan bersatu hati serta diberikan segala kemudahan fizikal dan mental untuk menyelesaikan operasi dengan sempurna.

“Baginda mendoakan agar pengorbanan mulia anggota-anggota penyelamat ini dalam melaksanakan tugas masing-masing dengan bersungguh-sungguh akan dikurniakan ganjaran setimpal oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah memaklumkan polis masih meneliti sembilan lagi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan terbabit dekat Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang belum ditemui sejak Jumaat lalu.

Justeru, beliau tidak akan mendedahkan sebarang maklumat berkenaan mangsa kepada umum buat masa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya