KUANTAN: Polis menahan dua individu sekali gus menumpaskan sindiket curi motosikal dikenali sebagai Geng Udin yang menjadikan masjid di daerah ini sebagai sasaran mereka.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua suspek merupakan warga tempatan berusia 29 dan 44 tahun.
Menurutnya, pada awal November lalu, pihak polis menerima laporan yang berturut-turut berkaitan kejadian curi motosikal di sebuah masjid di Jaya Gading, di sini.
“Suspek dipercayai memilih waktu Subuh sebagai masa yang sesuai melakukan kegiatan tersebut.
“Kejadian pertama berlaku 11 November lalu apabila mangsa berusia 51 tahun kehilangan motosikal ketika sedang solat Subuh manakala kes kedua 29 November lalu, membabitkan mangsa berusia 42 tahun mengalami nasib yang sama.
“Suspek dipercayai masuk ke kawasan masjid dengan menaiki sebuah kereta dan memerhati pergerakan jemaah sebelum mencuri sekali gus melarikan motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.
Sebanyak 129 kes curi motosikal dilaporkan dari Januari hingga November lalu dalam daerah ini dan susulan daripada itu pihak polis berjaya menyelesaikan 54 kes.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, bertindak atas maklumat, polis membuat serbuan di sebuah pondok dalam kawasan Jaya Gading dan berjaya menahan dua individu dipercayai terbabit dalam kes curi motosikal.
Katanya, pihak anggota Task Force Lejang dan Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan dan Jaya Gading yang melakukan serbuan turut merampas sebuah motosikal curi serta kereta digunakan dalam kegiatan tersebut.
“Hasil siasatan lanjut terhadap kedua-duanya, polis menemukan satu spanar yang diubah suai dan dua buah lagi motosikal dilaporkan hilang di Kuantan dan Temerloh.
“Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan narkotik.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Kuantan, esok di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, dengan tertumpasnya Geng Udin, pihak polis berjaya menyelesaikan dua kes curi motosikal yang berlaku bagi dua daerah yang menjadikan masjid sebagai sasaran.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih peka dengan soal keselamatan harta benda khususnya motosikal. Gunakan kunci tambahan pada motosikal dan sekiranya terdapat individu atau kumpulan yang mencurigakan di kawasan awam segera laporkan kepada pihak polis,” katanya. – UTUSAN










