Sidang DUN Perak: Langkah lebih strategik bantu peniaga kecil, penjaja - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perak: Langkah lebih strategik bantu peniaga kecil, penjaja

SALBIAH Mohamed ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN//MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak akan merangka langkah lebih strategik dalam membantu peniaga kecil dan penjaja tahun depan, bagi memastikan bantuan diberikan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri komited untuk terus membantu menyediakan pelbagai kemudahan kepada peniaga kecil dan penjaja agar kelangsungan perniagaan dan punca pendapatan mereka dapat terus diupayakan.

“Maka bagi tahun 2023, langkah yang lebih strategik akan dirangka segera agar setiap sen yang dibelanjakan oleh kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan dan pengupayaan usahawan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Rosli Abd. Rahman (PN-Pasir Panjang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Menurut Salbiah, aspek bantuan kewangan kepada usahawan akan turut diberi perhatian supaya dana pusingan modal perniagaan dan pembelian barangan perniagaan dapat disalurkan secara bersasar, sekali gus memberi penumpuan kepada peningkatan pendapatan peniaga kecil dan penjaja.

Jelasnya, kerajaan juga akan berusaha menyediakan ruang dan peluang terbaik bagi meningkatkan program pemasaran yang diyakini mampu membuka pasaran baharu kepada peniaga dan penjaja bagi meningkatkan pendapatan semasa mereka.

Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri amat memahami keluh kesah yang dihadapi oleh masyarakat usahawan khususnya penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat penutupan perniagaan sepanjang pandemik Covid-19.

Justeru, terang beliau, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi sejak 2021 bagi meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan penjaja.

Antaranya, bantuan khas ‘one off’ RM300 kepada 41,730 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan sebanyak RM14.16 juta.

Selain itu, Geran Usahawan Perak (GeRUP) iaitu bantuan ‘one off’ berjumlah RM3,000 bertujuan membantu usahawan mikro bumiputera Perak yang tercicir daripada mendapat bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 dan GKP 2.0 yang melibatkan seramai 619 usahawan.

Pada masa sama, jelas beliau, pemberian diskaun bayaran air secara bersasar kepada pelanggan – pelanggan perniagaan dan industri yang terkesan dengan kos RM500,000 dan pengecualian sewa 10,264 gerai di bawah PBT yang melibatkan implikasi kewangan RM1.6 juta.

“Pengecualian bayaran pembaharuan 220 lesen pusat kecantikan dan spa serta 565 hotel yang berdaftar di bawah PBT melibatkan implikasi kewangan RM570,000 serta kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak dan pinjaman mikro kredit Yayasan Bina Upaya yang melibatkan 743 peminjam,” jelas beliau.

Menurutnya, bagi usahawan dalam sektor pertanian, beberapa inisiatif yang memberi manfaat kepada petani, penternak dan nelayan seperti pemberian bantuan input ladang dan ternakan, pemberian benih dan peralatan aktiviti penuaian hasil pertanian, program pembangunan modal insan serta kotak makanan, turut dilaksanakan.

Jelas beliau, kerajaan negeri melalui Sekretariat Pembangunan Usahawan (STeP) dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan pembangunan usahawan turut menggerakkan pelbagai inisiatif terutama dalam meningkatkan semula pendapatan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya