fbpx

Seorang maut, dua cedera, Proton Wira-Perodua Kancil bertembung

SEORANG wanita maut dalam kemalangan melibatkan kereta Proton Wira dan Perodua Kancil di Jalan Padang Tembak-Felda Kahang Barat, Kluang.

KLUANG: Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera apabila kenderaan yang naiki bertembung di Jalan Felda Kahang Barat-Jalan Padang Tembak, dekat sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, kemalangan yang melibatkan sebuah Proton Wira dan Perodua Kancil itu berlaku pukul 12.50 tengah hari.

Siasatan awal mendapati Proton Wira yang dipandu Siti Aisah Abdullah, 29, bersama seorang penumpang, Patimah Abu Bakar, 70, datang dari arah Felda Kahang Barat ke Jalan Padang Tembak.

“Sebaik sahaja sampai ke lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentang lalu bertembung dengan Perodua Kancil dipandu oleh Norsahida Ramdan, 42.

“Akibatnya, Norsahida mengalami kecederaan parah dan tersepit di tempat duduk sebelum disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pemandu dan penumpang kereta Proton Wira mengalami kecederaan di kepala, dada dan tangan serta masih dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEHE) Kluang.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian pada pukul 12.56 petang.

Sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS dengan sembilan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Noorhakim Nordin dikejarkan ke lokasi kejadian.

Anggota bomba memggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN