Semua projek 'sakit' diteliti - Zaliha

Semua projek ‘sakit’ diteliti – Zaliha

ZALIHA Mustafa dan Noor Hisham Abdullah melihat replika projek bangunan tambahan Hospital Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kementerian Kesihatan akan meneliti semula semua projek ‘sakit’ yang membabitkan pelbagai kemudahan awam dan fasiliti kesihatan termasuk pembinaan hospital.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penelitian secara pragmatik perlu dilakukan secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dan tindakan dibuat.

“Saya telah diberi penerangan berkaitan hal berkenaan, cuma belum diperincikan lagi dan saya perlu lihat ‘sakit’ itu dalam (bentuk) bagaimana.

“Kita perlu lihat satu persatu permasalahan termasuk aduan yang diketengahkan barulah perkara itu dapat diatasi (kerana) langkah berkenaan tidak mudah.

“Ia seperti merawat pesakit, harus ada penelitian sebelum rawatan terbaik diberikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan ke Hospital Segamat, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengenal pasti 13 projek ‘sakit’ di seluruh negara kerana lewat siap dan tidak mengikut jadual ditetapkan yang membabitkan pelbagai projek kemudahan awam termasuk pembinaan hospital.

Sementara itu, Dr. Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang dalam lawatan sulungnya itu meninjau tapak projek bangunan tambahan Hospital Segamat yang bernilai RM90.5 juta.

Menurutnya, bangunan yang dilengkapi empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta sebuah Unit Hidrodinamik dan Respiratori (RHU) berkenaan dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada awal tahun depan.

“Dengan kemudahan yang disediakan di blok tambahan ini, Hospital Segamat akan dapat memperluaskan lagi perkhidmatannya, sekali gus menampung keperluan 223,000 penduduk di daerah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN