PETALING JAYA: Malaysia kini berada di ambang lonjakan teknologi yang mampu mentransformasikan ekonomi dan pasaran hartanah negara untuk muncul sebagai peneraju kecerdasan buatan (AI) global.
Berdasarkan laporan tahunan AI Index 2026 oleh Universiti Stanford, Malaysia menunjukkan tahap kesediaan, kepercayaan dan semangat yang tinggi terhadap teknologi tersebut berbanding negara lain.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, data tersebut menjelaskan mengapa Malaysia berjaya menarik pelaburan maklumat dan komunikasi bernilai RM152.9 bilion pada tahun lalu.
“Perniagaan berasaskan Malaysia sedang mengguna pakai AI dengan pantas, sekali gus memacu gelombang pertumbuhan baharu dalam sektor hartanah. AI menjadi pencipta pekerjaan terbesar dalam subsektor maklumat dan komunikasi dengan mewujudkan lebih 12,600 peranan tahun lalu.
“Hampir 80 peratus rakyat Malaysia percaya AI akan mengubah hidup mereka secara mendalam dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, dengan 76 peratus daripadanya menyatakan keterujaan terhadap teknologi ini,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Kashif berkata, sebanyak sembilan daripada sepuluh rakyat Malaysia sudah menggunakan AI di tempat kerja, jauh lebih tinggi berbanding hanya 43 peratus di China dan 46 peratus di Amerika Syarikat.
Selain itu katanya, tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dalam mengawal selia AI juga merupakan antara yang tertinggi di dunia, iaitu di kedudukan ketiga selepas Singapura dan Indonesia.
“Kepercayaan awam sebanyak 73 peratus ini menjana kestabilan dasar dan memudahkan syarikat untuk melabur. Kerajaan dilihat sangat proaktif melalui pelbagai inisiatif seperti rangka tindakan ekonomi digital dan pemacuan pelaburan pusat data,” katanya.
Mengulas mengenai impak terhadap sektor hartanah, beliau menganggarkan pemaju pusat data melabur kira-kira RM9.5 bilion setahun untuk pembelian tanah sahaja.
“IQI menganggarkan pembelian tanah pusat data pada 2025 menyamai kira-kira empat peratus daripada jumlah keseluruhan nilai transaksi hartanah. Setiap bilion ringgit pelaburan berkaitan AI memberikan kesan limpahan kepada pasaran hartanah yang lebih luas.
“Ini bermakna kita memerlukan lebih banyak kemudahan industri, ruang pejabat komersial, logistik, serta perumahan kediaman dan ruang runcit di kawasan sekitar. Pertumbuhan tenaga kerja mahir literasi AI juga akan meningkatkan permintaan terhadap hartanah kediaman yang berkualiti,” katanya.
Tambahnya, impak AI terhadap ekonomi dan pasaran hartanah Malaysia dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang seiring dengan produktiviti individu yang semakin bertambah. –UTUSAN









