BENTONG: Kerajaan Pahang digesa menyemak semula setiap projek yang dijalankan di kawasan cerun berbukit dan yang mempunyai risiko tanah runtuh di sekitar negeri ini dengan segera.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, ia bagi mengelakkan tragedi tanah runtuh berlaku yang akan menyebabkan kemalangan jiwa berulang.
“Langkah-langkah keselamatan perlu dititikberatkan dan menjadi keutamaan lebih-lebih lagi ketika kini negara kita sedang mengalami musim tengkujuh.
“Oleh itu, setiap agensi atau jabatan berkaitan mesti mengadakan pemeriksaan di setiap tapak projek di kawasan cerun berbukit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi semalam, setakat ini 23 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di atas tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, diusahakan sebuah syarikat yang disahkan beroperasi tanpa lesen.
Difahamkan, daripada 94 mangsa, antara yang terkorban ialah penghuni perkhemahan dari Melaka dan Kuala Lumpur manakala yang terselamat pula terdiri daripada pekerja ladang tersebut termasuk 13 warga Myanmar.
Young Syefura turut meminta pengusaha tempat-tempat percutian di kawasan berisiko tanah runtuh agar peka dengan keadaan di sekeliling kawasan percutian milik mereka.
“Saya mohon agar pengusaha bertanggungjawab dalam memastikan tiada rekahan atau tanda-tanda awal pergerakan tanah di kawasan sekeliling tempat percutian milik mereka dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat kesan-kesan rekahan.
“Begitu juga dengan kawasan-kawasan berisiko yang lain seperti kawasan di tepi pantai dan tepi sungai. Pengusaha tempat-tempat percutian perlu peka dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup mengambil risiko,” katanya.
Beliau dalam pada itu merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris mangsa tragedi tanah runtuh di kawasan perkhemahan di Jalan Batang Kali – Genting Highlands pada Jumaat lalu.
“Saya bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Thomas Su Keong Siong sudah melawat kawasan kejadian dan mendengar penerangan daripada pasukan penyelamat yang menjalankan misi mencari dan menyelamat.
“Saya mendoakan agar misi mencari dan menyelamat semua mangsa dapat dijalankan dengan lancar dan segera selesai,” katanya.
Beliau turut berharap agar Jalan Batang Kali-Genting Highlands ini dapat dibaik pulih dan dibuka kepada kegunaan orang ramai dengan kadar yang segera.
“Ini kerana jalan ini menjadi jalan utama kepada mereka yang bekerja di kawasan Genting Highlands yang tinggal di kawasan Batang Kali dan sekitarnya.
“Jika jalan ini ditutup dalam jangka masa yang lama, ia akan menyukarkan mereka untuk berulang-alik dari tempat tinggal ke tempat kerja,” katanya.
Menurutnya lagi, laluan alternatif yang dicadangkan ketika ini dilihat agak jauh dan mengambil masa yang panjang serta menelan kos yang tinggi kerana pengguna terpaksa membayar tol dan mengeluarkan perbelanjaan minyak yang lebih besar. – UTUSAN










