KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan diminta segera melaksanakan kerja-kerja membaik pulih dua blok bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya yang terjejas akibat angin kencang.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Shahelmey Yahya menyarankan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera agar proses pembelajaran pelajar di sekolah tersebut tidak terganggu.
Dua blok bangunan yang terjejas teruk akibat angin kencang yang berlaku kelmarin menempatkan lapan buah kelas.
Beliau berkata, memandangkan sebahagian pelajar akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal tahun depan maka kerja-kerja kecemasan bagi membaik pulih kerosakan yang berlaku harus dilakukan dengan segera.
“Kita telah berbincang bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak sekolah untuk merancang bagaimana menempatkan pelajar-pelajar sekolah menengah yang terjejas ini.
“Penempatan sementara akan disediakan agar proses pembelajaran mereka tidak terganggu secara total akibat kejadian yang menimpa itu.
“Jadi, saya menyeru ibu bapa dan pelajar agar berhubung dengan pihak sekolah berkaitan proses pembelajaran sementara menunggu proses pembaikan siap.
“Kementerian Pendidikan dijangka turut mengadakan lawatan dan saya berharap kerja-kerja pembaikan berkaitan dapat disegerakan,” katanya ketika melawat SMK Pulau Gaya di sini.
Lawatan itu turut disertai Exco Pendidikan Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif serta wakil-wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Selain sekolah, difahamkan 12 rumah turut terjejas dan ketika ini, penduduk yang terlibat tinggal di rumah keluarga masing-masing buat sementara waktu.
Dalam lawatan itu, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (Baitulmal) turut menyampaikan bantuan kepada pemilik-pemilik rumah yang terjejas.
“Diharap bantuan sebegitu dapat meringankan bebanan keluarga yang terlibat. Saya difahamkan 12 keluarga tapi jumlah sebenar akan dikenal pasti kemudian oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Aru,” kata Shahelmey. – UTUSAN










