Saya agak KDN, tetapi pergi ke 'food security' - Mat Sabu

Saya agak KDN, tetapi pergi ke ‘food security’ – Mat Sabu

MOHAMAD Sabu (dua dari kanan) menjulang tangan Jamil Khir Baharom (tiga dari kanan) dan pemimpin PH lain pada Ceramah Pengumuman Khas PH Padang Serai di Taman Desa Aman, Padang Meiha, Kulim, Kedah, malam tadi. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu tidak menyangka akan dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam barisan Kabinet baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, beliau sebenarnya menjangkakan dipilih oleh Perdana Menteri untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) berdasarkan pengalamannya sebelum ini.

“Sebelum ini saya terlibat dalam banyak hal pertahanan dan saya mengagak (dapat) KDN tetapi pergi ke ‘food security’. Bagaimanapun, kita dalam satu pasukan yang mana sebarang kekurangan akan dibincang secara bersama,” katanya di sini malam tadi.

Terdahulu beliau menghadiri Ceramah Pengumuman Khas Pakatan Harapan (PH) Padang Serai yang turut disertai Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kata beliau, bidang pertanian dan keterjaminan makanan adalah baharu baginya dan perlu mendengar taklimat dahulu sebelum mengeluarkan sebarang arahan semasa.

“Ia merupakan satu benda baharu kepada saya dan saya akan dengar dahulu taklimat daripada pegawai-pegawai daripada kementerian tentang setakat mana persediaan,” ujarnya.

Berhubung pelantikan menteri secara keseluruhannya, Mohamad berkata, barisan menteri perlu bekerja lebih kuat susulan pengecilan jumlah menteri.

“Kita terpaksa memikul kerja yang lebih besar dan berat kerana menteri lebih kecil sekarang dan dia (Perdana Menteri) mahu hasil yang lebih baik lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas sama ada berpuas hati dengan jumlah wakil Amanah dalam Kabinet, kata beliau, masih terdapat pelantikan lain pada masa akan datang.

“Ini baru di peringkat menteri, selepas itu ada lagi timbalan-timbalan selain pelantikan lain. Ini baru di peringkat awal. Perbincangan akan berterusan untuk memenuhi pelantikan yang saya yakin bila berlaku perubahan kerajaan, banyak tindakan akan dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berharap nilai ringgit terus mengukuh sekali gus dapat mengurangkan kos import bahan makanan susulan trend pengukuhan ringgit yang dapat dilihat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dengan pertukaran kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri, keyakinan mula berlaku sehingga mata wang kita naik begitu mendadak dan kita harap ia dapat bertahan dan berubah lebih baik pada masa akan datang.

“Nilai import kita akan lebih murah jika mata wang kita semakin kukuh, itulah harapan kita dan kenaikan ini memang satu perkara yang menakjubkan dalam masa 10 hari selepas pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya