Sasar 500,000 suri rumah, wanita bujang carum SKSSR

Sasar 500,000 suri rumah, wanita bujang carum SKSSR

V SIVAKUMAR dalam sidang akhbar di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia menyasarkan kira-kira 500,000 orang wanita di seluruh negara mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Menterinya, V. Sivakumar berkata, sasaran ditetapkan itu adalah realistik malah sehingga 8 Disember lalu, seramai 1,092 individu mendaftar secara sukarela untuk skim itu.

“Jumlah besar ini mampu dicapai malahan kita sudah menerima lebih 1,000 permohonan walaupun hanya setelah seminggu dilancarkan bermula pada 1 Disember lalu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Malaysia merupakan negara keempat di dunia berjaya memperkenalkan skim khas perlindungan sedemikian demi kebajikan golongan wanita selepas Israel, Ireland dan Iran.

SKSSR dilaksanakan di bawah peruntukan baharu, Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 atau dikenali sebagai Akta 838 yang dikawal selia terus oleh pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sendiri.

Ia merupakan cetusan idea Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Perdana Menteri pada 2018 lalu ketika menjadi wanita yang pertama dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Mengulas lebih lanjut, Sivakumar berkata, SKSSR menjadi salah satu fokus utama beliau selepas beberapa hari diumum memegang mandat kementerian itu pada 2 Disember lalu.

“Saya juga akan mengadakan taklimat khusus untuk kesemua Ahli Parlimen pada 20 Disember depan bagi menerangkan mengenai skim ini agar rakyat juga dimaklumkan,” katanya.

Buat permulaan ujarnya, pelaksanaan SKSSR seperti dibentangkan pada Bajet 2022 lalu menyediakan peruntukan untuk 150,000 suri rumah kumpulan B40 dalam senarai i-Suri.

Beliau optimis sasaran ditetapkan meliputi lebih 10 juta orang wanita di negara ini mampu dicapai kerana skim itu turut dibuka kepada wanita bujang yang menjaga tanggungan.

Pada masa sama, beliau meminta pihak Perkeso supaya dapat mempergiatkan lagi usaha kempen untuk 2.9 juta suri rumah mencarum dalam SKSSR terutama kelompok miskin.

Bahkan kata Sivakumar, skim ini melindungi pencarum yang berumur kurang 56 tahun termasuk kalangan suri rumah tiada sumber pendapatan tetap untuk dilindungi oleh Perkeso.

Mereka yang mengalami penyakit atau kemalangan walaupun di luar rumah, akan diberi perlindungan bencana domestik atau keilatan dengan meliputi elaun dan pencen penakat.

“Aktiviti pengurusan rumah tangga ini merangkumi kegiatan rutin seperti hantar anak ke sekolah, pergi ke pasar dan sebagainya dengan hanya dibayar RM120 setahun,” katanya.

Amaun kecil berkenaan ujar beliau, yang turut boleh dicarum secara prabayar, adalah amat rendah berbanding apa ditawarkan oleh pelbagai syarikat insurans di pasaran ketika ini.

Lebih unik tambah Sivakumar, bayaran boleh dibuat sama ada oleh si suami sendiri atau dirinya jika tiada pasangan atau juga oleh orang lain termasuk organisasi bukan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya