PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan dengan menetapkan semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa perlu melalui saringan demam.
Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula dan jika pengembara berkenaan disyaki Covid-19, maka ujian Covid-19 akan dijalankan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, selain itu, pemantauan di pintu masuk juga diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan daripada pesawat yang datang dari negara China.
Katanya, sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19.
“Itu adalah antara langkah yang akan dilaksanakan kementerian bagi memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia berikutan situasi semasa dan perubahan polisi pengurusan Covid-19 di negara China,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.
Menurut Zaliha lagi, bagi mengesan sebarang varian baharu pula, semua kes ILI dan SARI yang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke China atau kontak dengan individu dari China dalam tempoh 14 hari perlu melalui ujian RTK-Ag.
Katanya, hasil ujian RTK-Ag Covid-19 itu seterusnya akan dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19.
“KKM sentiasa memantau situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di peringkat antarabangsa, khususnya melalui sidang media terkini oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Pada 13 November lalu, China melalui Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaannya melaporkan kes Covid-19 di negara itu kembali meningkat dengan 14,878 jangkitan baharu dan 1,711 daripadanya bergejala manakala 13,167 tidak bergejala.
Malah, sepanjang tempoh seminggu selepas itu, kes pandemik Covid-19 di republik itu melonjak sehingga 62,439 kes. Manakala tanah besar China pula mengesahkan terdapat 271,968 kes dengan gejala.
Beberapa hari lalu dalam minggu akhir Disember ini, media melaporkan wilayah perindustrian Zhejiang berdepan sejuta jangkitan baharu Covid-19 setiap hari malah jumlah itu dijangka meningkat sehingga dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari lagi.
Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China melaporkan terdapat peningkatan kes di seluruh negara itu tetapi tiada laporan kematian Covid-19 di tanah besar itu sejak lima hari lalu.
Ekoran kebimbangan peningkatan kes pandemik Covid-19 ini, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun telah mewajibkan ujian Covid-19 untuk pelancong dari China. – UTUSAN










